KUCHING: Polis Kontinjen Sarawak percaya pihaknya berjaya menggagalkan percubaan sindiket pengedaran dadah menggunakan khidmat penghantaran kurier dengan tertangkapnya seorang lelaki berusia 27 tahun bersama dua jenis dadah yang dianggarkan bernilai RM1.2 juta.
Pemangku Komisioner Polis Sarawak, Deputi Komisioner (DCP) Datuk Mancha Ata berkata, sepasukan pegawai polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sarawak (JSJN) membuatr tiga serbuan, masing-masing di sebuah kafe di Batu 6 Jalan Penrissen, sebuah syarikat kurier di Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce dan sebuah rumah di Kampung Bumbok Jalan Batu Kitang di sini.
Katanya, pada 26 Feb lalu, jam 1.30 tengah hari, pasukan JSJN telah melakukan serbuan pertama di kawasan kaki lima sebuah kafe di Batu 6 Jalan Penrissen dan menahan seorang suspek lelaki.
Beliau berkata, ketika polis tiba di lokasi serbuan pihaknya mendapati seorang lelaki sedang memegang satu kotak yang dibungkus dengan plastik berselotap ‘Fragile Handle with Care” berlabel nama sebuah syarikat penghantaran kurier.

“Hasil pemeriksaan ke atas kotak tersebut mengandungi enam bungkusan plastik putih dan hijau bertulis Ecological Rice Zhen Phin.
“Setiap satunya mengandungi satu bungkusan plastik lutsinar berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 6,098 gram.
“Suspek ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), Sarawak di Kuching hari ini.
Mancha berkata, hasil maklumat yang diperoleh daripada serbuan pertama, polis berjaya merampas sebuah lagi kotak di premis sebuah syarikat kurier di Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce pada jam 2 petang di hari yang sama.
“Rampasan kotak kedua itu pula membawa kepada penemuan enam lagi peket yang berwarna putih dan hijau, yang setiap peket mengandungi berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 6,096 gram,” katanya.
Mancha berkata, hasil maklumat yang diperoleh daripada serbuan kedua, pihak polis telah melakukan serbuan ketiga di Kampung Bumbok di Jalan Batu Kitang ada jam 3 petang pada hari yang sama.
Serbuan ketiga itu, katanya pihak polis telah merampas sebuah kotak yang mengandungi 13 paket yang turut dipercayai mengandung dadah jenis Ketamin seberat 13.4 gram dan Syabu seberat 664 gram di dalam bilik tidur suspek.
“Keseluruhannya, polis berjaya merampas dadah seberat kira-kira 25.5 kilogram, sebuah kenderaan serba guna bernilai RM30,000 dan sebuah motosikal bernilai RM8,000,” katanya.
Katanya, jumlah dadah yang dirampas itu boleh menampung bekalan kepada kira-kira 25,000 orang. Polis percaya dadah berkenaan mahu dihantar ke Semenanjung menggunakan khidmat kurier.
“Polis sedang menyiasat ketiga-tiga kes berkenaan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Suspek yang tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau jika disabit kesalahan boleh dipenjara seumur hidup dan 15 sebatan,” kata Mancha.
Katanya, suspek kini ditahan untuk tempoh seminggu bagi membantu siasatan kes.
Sementara itu, Mancha berkata berdasarkan rekod JSJN, rampasan kali ini merupakan yang terbesar dilakukan tahun ini berbanding jumlah rampasan berjumlah RM19 juta sepanjang tahun lalu. UTUSAN