PN tidak guna lagi manifesto, ganti ikrar - Utusan Malaysia

PN tidak guna lagi manifesto, ganti ikrar

MUHAMMAD Sanusi Md. Nor (dua kiri) mengadakan lawatan selepas merasmikan Bangunan SRITI Nurul Hidaya, Pekan Naka, Padang Terap hari ini. - UTUSAN/MOHD. RAFIE AZIMI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG TERAP: Perikatan Nasional (PN) tidak lagi menggunakan perkataan manifesto bagi merujuk janji-janji pilihan raya yang akan dilaksanakan di Johor kerana maksud perkataan tersebut telah ‘dirosakkan’ ketika Pakatan Harapan (PH) memerintah negara sebelum ini.

Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, perkataan ikrar yang digunakan bagi menggantikan ‘manifesto’ di Johor merupakan satu bentuk keazaman di pihak PN untuk melaksanakan segala janji secara bersungguh-sungguh.

“Kita tidak lagi sebut sebagai ‘manifesto’ sebaliknya ‘ikrar’. Sebabnya kerana ada orang telah merosakkan maksud manifesto dengan mengatakan manifesto itu bukan kitab suci dan boleh diketepikan apabila mereka gagal melaksanakannya.

“Itu yang PH lakukan sebelum ini sekali gus mengakibatkan makna manifesto itu dirosakkan. Sebab itu kita tukar manifesto kepada ikrar dan ikrar ini adalah sesuatu yang kita azam secara bersungguh-sungguh, serta berjanji untuk dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) Nurul Hidayah di Pekan Naka di sini hari ini.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam melancarkan ikrar berteraskan lapan tunjang utama, berpacukan 24 strategi dan berlandaskan 144 pendekatan yang akan dilaksanakan PN sekiranya mereka memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) di Johor nanti.

Lapan tunjang itu merangkumi kepemimpinan berintegriti dan bebas, keutuhan ekonomi Johor, keutamaan tangani kos sara hidup, keprihatinan kepada rakyat, kesejahteraan sosial, kecekapan infrastruktur, merancakkan sektor pelancongan dan kelestarian alam sekitar.

Mengulas lanjut katanya, ikrar tersebut merangkumi satu tawaran menyeluruh untuk rakyat di Johor meliputi aspek penting dalam usaha memulihkan kehidupan akibat serangan Covid-19.

“Tawaran itu juga merupakan sesuatu yang realistik untuk dicapai. Sebagai contoh, tawaran 20 meter padu air percuma untuk keluarga berpendapatan rendah di Johor. Perkara itu sudah dibuat di banyak negeri namun belum dilaksanakan di Johor dan PN berikrar untuk melaksanakannya.

“Semua itu munasabah untuk dilaksanakan. Justeru saya berharap ikrar ini akan menjadi tawaran terbaik buat pengundi Johor untuk memilih PN,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya