JOHOR BAHRU: Perikatan Nasional (PN) terus memperjuang nasib peneroka Felda bukan sahaja di Johor tetapi di seluruh negara, khususnya melibatkan isu pemilikan tanah diusahakan yang berstatus pajakan 99 tahun dan berbaki kira-kira 30 tahun lagi.
Ketua Penerangan PN Johor, Mohd. Solihan Badri berkata, penganugerahan hak milik kekal kepada 112,635 peneroka adalah tanda terima kasih negara bagi menghargai komitmen dan pengorbanan mereka.
Katanya, PN juga melihat penganugerahan tanah berkenaan sebagai usaha meningkatkan keluasan tanah milik tetap dalam kalangan orang Melayu dan kepentingan tanah itu terjaga serta boleh dilindungi dengan lebih baik jika dikategorikan sebagai tanah rizab Melayu.
“Apabila PN mendapat sokongan padu dan menubuhkan kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, kami akan perjuang supaya proses serah hak milik kepada peneroka atau waris dilakukan segera memandangkan banyak kawasan Felda kini tempoh pajakannya sudah melebihi 60 tahun.
“Malah untuk menjamin proses ini disegerakan, kami akan berunding dengan Kerajaan Persekutuan untuk mencari jalan bagi membantu peneroka melunaskan baki premium tanah masing-masing supaya proses memindahkan geran hak milik kepada hak milik kekal boleh dilakukan selepas itu,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Untuk rekod, keluasan tanah Felda adalah sebanyak 351,000 hektar melibatkan seramai 112,635 peneroka di 317 tanah rancangan itu di seluruh negara. Di Johor, 35 kawasan Felda pula terletak dalam Felda Wilayah Segamat dan 44 lagi dalam Felda Wilayah Johor Bahru.
Tambah Mohd. Solihan, komitmen yang diberikan PN berhubung pemberian hak milik kekal tanah yang diusahakan oleh peneroka Felda bukan janji kosong semata-mata.
“Kita mahu perjuang perkara ini khususnya pindaan dan penambahbaikan kepada Akta Penempatan Berkelompok (GSA) 1967 kerana ini melibatkan pewarisan harta pusaka peneroka Felda agar dapat diwarisi generasi seterusnya.
“Buktinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada tahun lalu bersetuju melupuskan sebahagian pinjaman peneroka berjumlah RM8.3 bilion, selain sediakan RM400 juta bagi menghapuskan faedah hutang kebun peneroka serta penerbitan sukuk yang dijamin kerajaan berjumlah RM9.9 bilion bagi menyusun semula operasi dan pengurusan Felda,” jelasnya. – UTUSAN