KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diminta tidak melayan desakan sesetengah pihak supaya pilihan raya umum (PRU) disegerakan.

Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fook berkata, berdasarkan situasi semasa Covid-19, adalah lebih baik PRU tidak diadakan dalam masa terdekat.
“Bera (Perdana Menteri) tidak perlu melayan desakan sesetengah pihak supaya PRU disegerakan.
“Dengan angka jangkitan Covid-19 yang semakin meningkat ketika ini, adalah lebih baik PRU tidak diadakan dalam waktu terdekat,” katanya di Dewan Rakyat ketika membahaskan Titah Ucapan Yang di-Pertuan Agong.
Menurut Siew Fook, pembangkang juga bersedia meneruskan Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai Pakatan Harapan (PH) dengan Kerajaan Persekutuan pada September tahun lalu, selepas tarikh 31 Julai depan.

Siew Fook yang juga merupakan Setiausaha Organisasi DAP berkata, pembangkang bersedia menjalin MoU 2.0 hingga tempoh pilihan raya umum diadakan.
“Pembangkang akan mempertahan apa yang kita tandatangani dan melaksanakan transformasi yang dipersetujui, termasuk pindaan Perlembagaan berkaitan Akta Antilompat Parti yang dibentangkan pada 21 Mac ini,” katanya. – UTUSAN