SEREMBAN: Golongan ibu bapa perlu yakin dengan pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Untuk Kanak-kanak (PICKids) ketika ini yang sememangnya bertujuan melindungi anak-anak mereka daripada dijangkiti Covid-19.
Felo Akademik Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Datin Dr. Che Llina Che Isahak berpandangan, vaksin Covid-19 yang diberikan kepada kanak-kanak ketika ini telah terbukti selamat dan ibu bapa tidak perlu khuatir mengenainya.
“Ia telah melalui pelbagai kajian teknikal yang dilaksanakan oleh saintis dan kumpulan penyelidik, jadi ibu bapa tidak perlu khuatir kerana vaksin itu selamat.
“Walaupun kajian klinikalnya hanya dalam tempoh singkat namun ibu bapa tidak perlu risau. Lebih penting dalam keadaan negara sedang terus menghadapi peningkatan jumlah kes Covid-19 ini, pemberian vaksinasi sangat perlu bagi mengelakkan kemasukan kanak-kanak ke hospital selain untuk mengelakkan kematian akibat Covid-19,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan syarahan bertajuk Adult Immunisation: From Research to National Policy dalam Program Syarahan Perdana di Dewan Auditorium, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan USIM, Nilai dekat sini hari ini.
Yang hadir sama, Naib Canselor USIM, Prof. Datuk Dr. Mohamed Ridza Wahiddin.
Sejak pelaksanaannya pada 3 Februari lalu, pelaksanaan PICKids dilihat masih kurang menerima sambutan dengan kebanyakan ibu bapa masih mengambil sikap tunggu dan lihat sebelum mendaftarkan anak mereka di bawah program itu.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin malah memaklumkan, ibu bapa seolah-olah berhadapan dengan ‘mental blok’ sehingga enggan membenarkan anak-anak divaksin biarpun setelah diberikan penerangan mengenai kepentingan vaksinasi untuk melindungi anak mereka.
Dalam pada itu, Che Llina meminta setiap penerima dos penggalak vaksin Covid-19 untuk peka dengan perubahan kesihatan diri selepas divaksinasi termasuk sekiranya mengalami kesan sampingan.
“Dos penggalak ini tidak bahaya malah memberi kesan yang baik untuk imunisasi badan bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19. Bagaimanapun bagi mereka yang mempunyai alergi perlu peka dengan kesihatan dan sekiranya mengalami kesan sampingan haruslah segera mendapatkan rawatan,” katanya.
Dalam majlis berkenaan, Che Llina turut melancarkan buku Soal Jawab Vaksin Covid-19 yang dihasilkan bersama kumpulan penyelidiknya.
Kumpulan tersebut ditubuhkan sejak daripada awal berlakunya pandemik Covid-19 dan ia terdiri daripada pakar-pakar dalam bidang kesihatan awam, mikrobiologi, kesihatan keluarga dan perubatan dalaman yang aktif menyumbang idea dan kepakaran termasuk penyelidikan berkaitan Covid-19. – UTUSAN










