Peruntukan RM25j atasi gangguan bekalan air di PD - Utusan Malaysia

Peruntukan RM25j atasi gangguan bekalan air di PD

AMINUDDIN Harun dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco Kerajaan Negeri Sembilan di Wisma Negeri, Seremban hari ini. - UTUSAN/BADRUL HAFIZAN MAT ISA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sebanyak RM25 juta diperuntukkan kerajaan Negeri Sembilan sebagai langkah segera mengatasi masalah bekalan air di sekitar kawasan Port Dickson berikutan penutupan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Linggi.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, projek-projek menerusi perancangan yang diambil oleh pihak Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn. Bhd. (Sains) tersebut dijangka mengambil masa antara 12 hingga 15 bulan untuk disiapkan.

“Ia termasuk bagi menggantikan raked screen di LRA Sungai Linggi dengan anggaran kos sebanyak RM5 juta selain menggantikan papan suis panel elektrik di LRA Linggi dengan kos sebanyak RM3 juta.

“Menggantikan empat buah tangki perumahan yang berusia dan rosak dengan anggaran kos sebanyak RM2 juta dan juga RM15 juta bagi memasang jajaran paip baharu dari Kolam Telok Kemang ke Kolam Si Rusa sejauh 10 kilometer,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco Kerajaan Negeri Sembilan di Wisma Negeri di sini hari ini.

Aminuddin dalam pada itu menjelaskan, kekerapan berlakunya gangguan bekalan air di sekitar kawasan Port Dickson adalah disebabkan kadar kekeruhan air di Sungai Linggi yang terlalu tinggi setelah berlakunya hujan lebat di sekitar kawasan Seremban sehingga menyebabkan LRA Sungai Linggi tidak dapat beroperasi memproses air mentah dari sungai tersebut.

Sehubungan itu katanya, kerajaan negeri turut mengambil beberapa langkah jangka masa pendek dan panjang bagi mengatasi masalah tersebut.

Jelas beliau, ia termasuk meningkatkan kekerapan rondaan penguatkuasaan di kawasan sekitar Sungai Linggi dan sungai lain yang berkebarangkalian tinggi menyumbang kepada kekeruhan air di Sungai Linggi serta mengambil tindakan sewajarnya selaras dengan Akta Air 1920 sekiranya terdapat pemegang permit pengorekan pasir atau mana-mana pihak yang menyebabkan pencemaran tersebut.

Selain itu katanya, tiada kelulusan baharu permit pengorekan pasir daratan atau pasir sungai di sepanjang Sungai Linggi yang akan dipertimbangkan oleh pihak kerajaan negeri.

“Bagi langkah jangka panjang pula, kawasan Linggi kini dalam perancangan untuk dibina Off River Storage yang berkapasiti lebih kurang 250 juta liter per hari (JLH) yang berfungsi sebagai kolam takungan air mentah untuk dibekalkan kepada LRA dan bukan lagi daripada Sungai Linggi.

“Kerajaan negeri juga merancang untuk membina struktur takungan sedimen di bahagian hulu Sungai Gunung Berembun bagi mengurangkan kadar sedimen yang tinggi mengalir masuk ke Sungai Linggi,” katanya.

Sementara itu, dalam sidang akhbar sama, Menteri Besar memaklumkan bahawa kerajaan Negeri Sembilan masih meneruskan syarat lengkap dua dos vaksin sebagai kebenaran untuk memasuki surau dan masjid di negeri ini termasuk untuk menunaikan solat Jumaat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN