GLENDALE: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menyifatkan mendiang aktivis konservatif Charlie Kirk sebagai ‘seorang gergasi dalam generasinya’ menerusi satu majlis memorial memperingati mendiang.
“Charlie Kirk adalah seorang suami, ayah, anak, Kristian, dan patriot yang sangat berdedikasi.
“Beliau dibunuh secara kejam kerana bersuara demi kebebasan dan keadilan. Demi Tuhan dan negara. Demi akal dan nilai asas,” kata Trump
Majlis tersebut diadakan di sebuah stadium bola sepak berkapasiti 63,000 orang, dengan kawalan keselamatan yang ketat serta kehadiran anggota tertinggi pentadbiran Trump, menjadikan ia setanding dengan majlis pengebumian rasmi negara.
Antara tokoh yang turut berucap sebelum Presiden termasuk Naib Presiden JD Vance, Setiausaha Negara Marco Rubio, dan Setiausaha Pertahanan Pete Hegseth.
“Anda sangka anda boleh membunuh Charlie Kirk? Anda sebenarnya telah menjadikannya abadi,” kata penasihat kanan Trump, Stephen Miller, dalam ucapan penuh semangat, sambil menegaskan perjuangan untuk “menyelamatkan tamadun dan dunia Barat” akan diteruskan.
Turut hadir dan memberikan penghormatan ialah personaliti media kanan Tucker Carlson, Ketua Staf Rumah Putih Susie Wiles, serta Pengarah Perisikan Kebangsaan Tulsi Gabbard.
Majlis ini dianjurkan oleh Turning Point USA, pertubuhan politik belia konservatif yang diasaskan oleh Charlie Kirk, dan kini diketuai oleh balunya, Erika Kirk.
Dalam ucapan menyentuh hati, Erika mengejutkan ribuan hadirin apabila menyatakan dia memaafkan pembunuh suaminya.
Kenyataan tersebut menerima tepukan gemuruh dan sorakan daripada puluhan ribu hadirin.










