IPOH: Kerajaan Perak mempunyai sebab-sebab kukuh untuk tidak dapat memenuhi permintaan Pulau Pinang membekalkan sumber air dari Sungai Perak ke negeri itu.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kerajaan Perak harus mengutamakan dan memenuhi keperluan rakyat negeri terlebih dahulu sebelum dapat membantu negeri-negeri lain yang memerlukan.
Menurutnya, Perak membuat ketetapan itu berasaskan laporan dan ulasan empat agensi penting iaitu Tenaga Nasional Berhad (TNB), Lembaga Air Perak (LAP), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Perak.
Beliau berkata, air Sungai Perak bukan sahaja digunakan sebagai sumber bekalan air terawat bagi kegunaan harian rakyat tetapi juga digunakan secara meluas untuk tujuan penjanaan tenaga hidroelektrik selain pertanian, perikanan dan perindustrian yang semakin berkembang.
“Terdapat empat empangan TNB yang berfungsi menjana elektrik untuk kegunaan negara iaitu Empangan Temengor, Empangan Bersia, Empangan Kenering dan Empangan Chenderoh.
“Sebarang pengurangan kepada isipadu air empangan akan menjejaskan keupayaan penjanaan tenaga elektrik,” katanya ketika menjawab soalan Dr. Abdul Aziz Baru (PH-Tebing Tinggi) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini.
Saarani berkata, jelapang padi negeri di daerah Kerian di mana sumber air utamanya adalah daripada Empangan Bukit Merah yang kerap kali berlaku penyusutan ketara terutamanya pada musim kemarau.
Menurutnya, oleh yang demikian, JPS mengesyorkan supaya kerajaan negeri memberikan keutamaan untuk menyelesaikan masalah kekurangan bekalan air bagi tujuan pengairan sawah padi di kawasan itu.
“Selain itu, Jabatan Perangkaan Malaysia mengunjurkan penduduk negeri Perak pada tahun 2050 akan meningkat kepada tiga juta orang berbanding 2.5 juta orang pada masa sekarang.
“Sudah pastilah bilangan penduduk yang bertambah akan memerlukan penggunaan air yang lebih banyak.
“Oleh yang demikian, negeri Perak perlu memastikan permintaan air bagi rakyat negeri sentiasa mencukupi bagi keperluan domestik dan juga komersial pada setiap masa,” katanya.
Saarani berkata, UPEN pula mengunjurkan pelaburan bagi tujuan industri negeri semakin berkembang terutamanya di kawasan Perak Utara dan ketersediaan bekalan air yang mencukupi merupakan salah satu faktor penting dalam menarik minat pelabur untuk bertapak di negeri ini.
Menurutnya, berdasarkan data Lembaga Pembangunan Industri Malaysia (MIDA) Perak, sebanyak 20 kilang sarung tangan getah telah diluluskan dari tahun 2017 sehingga 2020 dan 16 kilang telah memulakan operasi manakala bakinya masih dalam peringkat perancangan pembinaan.
Katanya, sebanyak sembilan kilang sarung tangan ini terletak di kawasan Perak Utara iaitu di Kawasan Perindustrian (KP) Kamunting 1 dan KP Kamunting Raya di mana kilang sarung tangan getah memerlukan penggunaan air yang tinggi untuk membolehkannya beroperasi dengan kapasiti optimum.
“Justeru, kecukupan bekalan air negeri Perak perlu mengambil kira unjuran perkembangan perindustrian terutamanya kilang berasaskan getah.
“Kesimpulannya, keempat-empat agensi iaitu TNB, LAP, JPS dan UPEN melaporkan air Sungai Perak ini hanya cukup untuk kegunaan dalam negeri sahaja dan tidak dapat dibekalkan kepada negeri lain,” katanya. – UTUSAN










