ALOR SETAR: Penternak merayu prosedur pengambilan pekerja asing di ladang ayam dipermudah bagi menjamin bekalan bahan itu terutama menjelang musim perayaan tidak lama lagi.
Presiden Bismi Empire Sdn. Bhd. (Ayam Bismi), Jaffri Ahmad, 57, berkata, pihaknya khuatir bekalan ayam terjejas memandangkan permohonan pengambilan buruh warga asing ditolak ekoran pelbagai masalah teknikal.
“Permohonan Ayam Bismi untuk buruh asing ditolak kerana masalah teknikal. Syarikat kena buat iklan baharu untuk ambil pekerja tempatan sedangkan kita ketahui tentang kesukaran untuk mendapatkan orang tempatan bekerja di sektor yang kotor dan berat.
“Sekarang banyak syarikat ternakan ayam terdesak memerlukan pekerja dan prosedur baharu ini dikhuatiri menjejaskan kemasukan ayam sekali gus bekalan ayam kelak,” katanya di sini, semalam.
Tambahnya, sebagai syarikat yang mampu menternak sehingga dua juta setiap bulan, Ayam Bismi memerlukan sehingga 150 pekerja di ladang.
“Kini Ayam Bismi hanya mempunyai 90 pekerja dan memerlukan lagi 60 pekerja atau bekalan ayam terus terjejas,” katanya.
Jelasnya, pihaknya memerlukan jumlah pekerja yang ramai untuk melakukan pelbagai tugas seperti memastikan reban bersih dan bebas daripada sebarang serangan haiwan liar termasuk pemakanan.
Tambahnya, pekerja juga perlu mengangkat dedak beratus-ratus kilogram dan mengaut najis ayam.
Jelasnya, kebanyakan kerja tersebut hanya sanggup dilakukan oleh buruh-buruh asing yang datang semata-mata komitmennya untuk mencari wang.
“Ada pekerja tempatan yang bekerja sebagai penyelia dan pengurus ladang sahaja,” katanya. – UTUSAN










