JOHOR BAHRU: Golongan peniaga di negeri ini sudah tidak sabar menunggu kemasukan pengembara dari negara jiran susulan pembukaan semula sempadan darat Malaysia-Singapura melibatkan individu lengkap vaksinasi pada 1 April ini.
Seorang peniaga, Redzuan Rahmat, 40, berkata, kemasukan semula kuasa pembeli dari negara jiran itu mampu melonjakkan kembali ekonomi khususnya peniaga jalanan.
Katanya, pengumuman tersebut merupakan berita baik yang dinantikan sejak sekian lama setelah hampir tiga tahun pintu sempadan Johor-Singapura ditutup untuk mengekang penularan Covid-19.
“Selepas fasa perintah kawalan pergerakan (PKP) ditamatkan, peniaga sudah mula kembali berniaga dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan namun belum pulih sepenuhnya.
“Ramai peniaga masih bergelut dari segi kewangan terutama kami yang berniaga di jalanan. Disebabkan tempoh PKP sebelum ini agak panjang, jadi kami mengambil masa untuk bertapak semula bagi mencari modal berniaga.
“Dalam keadaan sekarang pun, kita hilang kira-kira 70 peratus pendapatan semenjak pandemik. Jadi, dengan kemasukan pengembara dari Singapura bermula 1 April ini, harapnya memberi limpahan rezeki kepada kami,” katanya ketika ditemui semalam.
Kelmarin, Malaysia dan Singapura mengumumkan pembukaan semula sempadan darat kedua-dua negara berkuat kuasa Jumaat depan dengan sebahagian besar SOP dilonggarkan.
Pengembara dari kedua-dua negara yang lengkap vaksinasi dibenarkan untuk merentas sempadan darat tanpa perlu menjalani kuarantin atau melaksanakan ujian saringan Covid-19 termasuk ujian pra pelepasan dan semasa ketibaan.
Sementara itu, Nurul Huda Abdullah Sani, 36, berkata, pengumuman itu menjadi suntikan semangat buat peniaga yang terkesan akibat pandemik Covid-19 untuk bangkit.
“Sejak pandemik ini, kita berdepan dengan pelbagai rintangan, cukup susah. Berniaga pun ada had masa dan paling utama kita juga telah kehilangan pelanggan dari Singapura yang kita tahu mempunyai kuasa beli yang lebih kuat.
“Sebagai peniaga barangan kecantikan, susah untuk memasarkan produk kerana masing-masing berkira-kira dan hanya membeli keperluan. Jadi, hasil jualan itu tidak seperti yang diharapkan, harapnya pembukaan sempadan ini akan mengubah situasi ini,” katanya.
Nurul Huda yang berniaga sejak 12 tahun lalu di bandar raya ini melihat pembukaan semula sempadan itu sebagai penanda aras untuk masyarakat boleh kembali menjalani kehidupan seperti sebelum pandemik. – UTUSAN










