Pengusaha kelulut nafi terlibat bongkar balak Bukit Makro - Utusan Malaysia

Pengusaha kelulut nafi terlibat bongkar balak Bukit Makro

RAMLI Md. Arof menjadikan tapak air mata air sebagai tempat untuknya menternak 15 sarang kelulut tanpa menjejaskan sebarang bentuk muka bumi semula jadi kawasan berkenaan. - UTUSAN/NORHAFIZAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN: Seorang pengusaha ladang kelulut di Taman Sri Keramat di sini menafikan terlibat membawa beberapa individu bagi membongkar aktiviti pembalakan yang didakwa berlaku di Bukit Makro di sini sebelum ini.

Selepas isu pembalakan di Bukit Makro terbongkar, pengusaha agropelancongan Taman Mini Kelulut Lestari, Ramli Md. Arof, 63, dilempar pelbagai fitnah sehingga ia menjejaskan kedatangan pengunjung dan penjualan produk Bitaly Kelulut Farm diusahakannya itu.

“Demi Allah, saya tidak tahu kedatangan mereka untuk membongkar tentang pembalakan terbabit. Saya hanya melayan kedatangan mereka yang saya anggap seperti pengunjung lain,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Disebabkan itu, timbul isu mendakwa perusahaannya dibina di atas tanah haram sehingga menyebabkan satu notis ditampal di ladangnya sebagai amaran penerokaan hutan secara haram yang ditujukan kepada umum.

“Saya mengusahakan Taman Mini Kelulut Lestari ini sejak 2019 dan mendapat peruntukan pelbagai pihak daripada kerajaan dalam usaha menjadikan taman mini ini sebagai daya tarikan dan produk bagi Taman Sri Keramat ini.

“Tidak hanya itu, taman mini kelulut ini turut dimasukkan dalam jadual pelancongan negeri sebagai lokasi yang perlu dikunjungi sehingga kami pernah menerima kunjungan pelancong dari Singapura,” katanya.

Katanya, dia mengakui lokasi taman mini kelulut berkenaan terletak di atas tanah yang digazetkan sebagai tapak perumahan namun telah membuat permohonan untuk Lesen Pendudukan Sementara (TOL) daripada pihak berwajib.

Selain dituduh menceroboh tanah haram, Ramli turut difitnah oleh individu tertentu yang mendakwa dia meletakkan pagar bagi mengaut keuntungan dengan mengenakan tiket bayaran.

“Selama dibuka, ia tidak pernah dipagar, malah saya tidak pernah membuka kaunter bayaran melainkan mereka yang hendak mandi di kolam mata air yang saya sediakan bagi tujuan penyelenggaran. Itu pun cuma RM2 sepanjang hari namun kebanyakan tiada bayaran dikenakan,” katanya.

Bercerita lanjut, dia turut dituduh menggunakan air mata air secara haram di mana tangki dibina sejak 1987 berikutan masalah ketiadaan air yang kerap berlaku di daerah ini.

“Pada awalnya saya bina tangki untuk rumah saya, kemudian turut diminta membina tangki untuk penduduk lain. Saya tolong jagakan tangki mereka tanpa mengenakan sebarang bayaran,” katanya.

Menurutnya, tidak adil dia dituduh mengambil air secara haram sedangkan sejak sekian lama lebih 50 peratus penduduk kawasan perumahan itu turut menggunakan air mata air terbabit.

“Tidak hanya penduduk, malah ia turut dimanfaatkan pelajar Kelas Agama dan Fardhu Ain (KAFA) yang mana kos pembinaan tangki terbabit iaitu RM1,800 menerusi peruntukan Ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib,” katanya.

Ramli yang mengusahakan taman mini kelulut itu bersama isterinya, Bita Sharif, 60, bagaimanapun tidak akan sesekali patah semangat dan akan meneruskan perusahaannya.

“Fitnah terbabit sedikit sebanyak mendatangkan kesan kepada perniagaan saya namun saya berharap agar perusahaan ini terus mendapat sokongan pelbagai pihak dalam usaha menyahut seruan kerajaan satu kampung satu produk,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN