BATU KAWAN : Kerajaan memberi bayangan bahawa Belanjawan 2026 pada 10 Oktober depan bakal memperkukuh sektor semikonduktor, sejajar dengan aspirasi Strategi Semikonduktor Nasional (NSS).
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, industri semikonduktor menjadi pemacu utama ekonomi dengan menyumbang lebih 40 peratus daripada eksport Malaysia terutama dalam segmen elektrik dan elektronik (E&E) ketika ini.
“Kita punyai peranan bagaimana untuk merancakkan, mendalami serta menyokong perkembangan industri ini.
“Saya rasa kita akan beri penekanan yang lebih kepada industri-industri yang penting seperti semikonduktor dan mungkin ada berita yang bakal tunjuk komitmen kerajaan bagaimana untuk merancakkan lagi segmen ini.
“Tapi, kita tunggu nanti dan saya tak akan melangkaui bos saya (Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim) untuk memperincikannya,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Program Jelajah Belanjawan 2026 Pulau Pinang di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan bukan sekadar mahu menarik pelaburan, tetapi juga menaikkan tahap kompleksiti industri semikonduktor supaya Malaysia kekal relevan dalam rantaian bekalan global sekali gus mewujudkan ekosistem lebih luas dan peluang pekerjaan baharu.
“Kerumitan itu bukan bermakna kita nak menyusahkan, tapi, kita nak tingkatkan kompleksiti yang ada dalam industri ini. Harapan kita, dengan apa yang kita telah letakkan dalam kita punya Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 di bawah kerangka Ekonomi Madani ini, ia akan merangsangkan lagi industri ini pada masa depan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Amir Hamzah turut mengulas mengenai cabaran tarif Amerika Syarikat (AS) terhadap industri semikonduktor negara.
Katanya, kebanyakan pemain industri di Malaysia berasal dari negara Barat dan mereka juga masih kekal optimis dengan pelaburan sedia ada.
“Kalau kita tengok dalam tarif yang diperkenalkan oleh Amerika (AS), ada pengecualian yang diberikan kepada sektor semikonduktor ini, terutama kepada mereka yang telah melabur balik kepada negara itu.
“Yang penting, kita mempunyai pemain industri tempatan yang kukuh, bakat tenaga kerja yang baik dan Malaysia sentiasa menjadi pembekal yang boleh dipercayai di mata dunia. Insya-Allah, kelebihan ini akan membantu kita pada masa depan,” katanya.-UTUSAN










