Pengeluaran KWSP tidak patut dijadikan ‘sepak terajang’ politik

Pengeluaran KWSP tidak patut dijadikan ‘sepak terajang’ politik

JAPLIN Akim (dua kiri) menyampaikan cek replika akaun simpanan SSPN kepada salah seorang murid, sambil disaksikan oleh Wan Saiful Wan Jan (dua kanan) di Kota Belud hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Pengeluaran wang caruman berjumlah RM10,000 daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak sepatutnya dijadikan sepak terajang politik bagi meraih populariti.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, pengeluaran KWSP ini berkait dengan kebajikan dan nasib rakyat maka, beliau tidak gemar melihat isu ini dijadikan bola sepak politik yang digunakan bagi meraih populariti beberapa tokoh politik.

Beliau berkata, pengeluaran wang caruman KWSP itu sudah dibenarkan sejak zaman Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

“Jadi bagi saya, ia tidak sepatutnya dijadikan sepak terajang politik,” katanya selepas Program Si Cilik ke sekolah bersama simpan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) di Dewan Masyarakat Tun Said hari ini.

Beliau, yang juga Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berkata, pengeluaran KWSP tidak sesuai digunakan bagi menjelaskan bayaran balik pinjaman PTPTN.

Itu bukan tujuannya kerana pengeluaran wang caruman itu adalah untuk mereka yang terdesak memerlukan wang untuk memenuhi keperluan harian dan bukannya untuk bermewah-mewahan.

“Pengeluaran wang caruman ini adalah bagi mereka yang memerlukan untuk menjaga kebajikan diri sendiri dan keluarga pada masa sekarang. Jadi, terserah kepada kebijaksanaan pencarum KWSP,” katanya.

Mengulas mengenai simpanan SSPN, Wan Saiful berkata, PTPTN menyasarkan untuk mencapai kutipan deposit yang lebih tinggi berbanding tahun lepas yang mencatatkan RM3 bilion.

“Kali pertama dalam sejarah PTPTN mencatatkan kutipan deposit yang tinggi sebegitu. Jadi, kita harap tahun ini lebih baik dan ini satu cabaran kepada kita untuk melipat ganda usaha untuk mencapai kutipan deposit yang baik,” katanya.

Dalam program itu, seramai 100 orang murid menerima replika cek sumbangan akaun simpanan SSPN Prime dan beg sekolah.

Hadir sama dalam majlis itu adalah Ketua Bahagian Bersatu Kota Belud, Datuk Japlin Akim.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN