PETALING JAYA: Pengawal keselamatan sebuah sekolah di Jalan Bandar Tun Razak yang ditahan kerana disyaki cuba merogol wanita yang mayatnya ditemui dalam sebuah bilik yang terbakar di sekolah berkenaan direman seminggu.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, siasatan mendapati mangsa berusia 25 tahun dan bekerja di sekolah sama sebagai penyelia kedai buku tidak mempunyai hubungan dengan suspek.
Menurut beliau, suspek berusia 30-an dan mempunyai rekod jenayah berkaitan seksual itu dipercayai cuba merogol mangsa sebelum mayat wanita itu ditemukan dalam sebuah bilik bengkel kemahiran hidup di sekolah berkenaan.
“Kita turut menahan suspek dalam kawasan di sekolah itu bagi membantu siasatan. Suspek kini direman tujuh hari bermula semalam hingga Khamis ini,”
“Bagaimanapun, motif kejadian masih dalam siasatan dan pihak bomba turut menyiasat punca kebakaran,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Muhammad Idzam berkata, pemeriksaan mendapati suspek mula bekerja di sekolah berkenaan sejak dua tahun lalu manakala mangsa pada Februari tahun ini.
Jelasnya, pihaknya masih menunggu laporan bedah siasat mangsa bagi mengenal pasti punca kematian.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas membunuh,” kata beliau.
Semalam, polis mengesahkan wanita ditemukan rentung dalam sebuah bilik di kawasan sekolah menengah di Cheras dekat sini dipercayai dibunuh.
Dalam kejadian pukul 6.18 petang itu, pihak bomba menerima panggilan mengenai kejadian kebakaran di sebuah bilik dalam kawasan sekolah tersebut.
Muhammad Idzam dilaporkan berkata, bertindak atas maklumat itu, sepasukan anggota Balai Polis Salak Selatan pergi ke tempat kejadian dan mendapati kebakaran dipadamkan dan satu mayat dalam keadaan rentung ditemukan oleh pihak bomba.
Ujarnya, mayat diserahkan ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk dibedah siasat.– UTUSAN