PETALING JAYA: Polis mengeluarkan kompaun kepada penganjur sebuah konsert di Bukit Jalil, Cheras dekat sini selepas dikesan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4.
Kompaun RM1,000 itu dikeluarkan selepas polis mengesan satu video berdurasi 16 saat di aplikasi TikTok memaparkan konsert yang diadakan tanpa mematuhi SOP PPN Fasa 4.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, hasil siasatan awal mendapati konsert berkenaan diadakan sempena satu program yang berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat hingga Ahad lalu di Bukit Jalil.
“Satu laporan polis dibuat berhubung kejadian itu dan penganjur konsert dikenakan kompaun sebanyak RM1,000 mengikut Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) PPN 2021,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Muhammad Idzam berkata, polis sentiasa menekankan kepentingan mematuhi SOP dalam apa jua acara dan tidak berkompromi sekiranya wujud pelanggaran SOP.
Beliau meminta orang ramai mempunyai sebarang maklumat berkaitan pelanggaran SOP supaya menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03-92845050/ 5051 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berdekatan. – UTUSAN