JERANTUT: Air Sungai Tembeling di mukim Ulu Tembeling di daerah ini surut berikutan hujan berhenti petang semalam menyaksikan penduduk lega dapat keluar bekerja manakala pengusaha dan penggiat ekopelancongan Taman Negara menunggu kedatangan pelancong ke lokasi berkenaan sempena cuti sekolah bermula minggu ini.
Penduduk Kampung Bantal, Ulu Tembeling, Jamizan Rashid, 44, berkata, air Sungai Tembeling yang melimpah masuk ke dataran kedai kopi, kedai runcit, rumah dan jeti di situ tiga hari lalu surut sejak petang semalam berikutan tiada hujan dan cuaca cerah.
“Pagi ini, kelihatan air Sungai Tembeling di paras normal dan dijangka kembali seperti biasa bagi membolehkan penduduk keluar bekerja, menoreh getah, kebun sawit, menangkap ikan liar termasuk operasi pengangkutan bot penambang.
“Bagaimanapun, penduduk masih waspada walaupun fenomena banjir kilat jarang berlaku pada bulan Februari dan Mac seperti tiga hari lalu, kemungkinan cuaca boleh berubah memandangkan negeri Terengganu dan Kelantan belum lagi pulih,” katanya di Kampung Bantal, dekat sini hari ini.
Menurut Jamizan, penduduk bersyukur dan gembira kerana air Sungai Tembeling mulai surut bagi memudahkan mereka berurusan ke bandar Jerantut dan membawa keluarga keluar bersiar di luar sempena cuti persekolahan minggu ini.
Perasaan itu turut dikongsi oleh Pengerusi Bird Group Taman Negara, Kuala Tahan, Roslan Abu Kassim, 56, yang berkata, fenomena banjir kilat berpunca peningkatan paras air Sungai Tembeling berlaku satu atau dua hari sahaja dan kemudian pulih.
“Kebiasaannya, apabila kampung pedalaman Ulu Tembeling seperti Kampung Bantal dinaiki air kawasan pesisir, kawasan kami (Kuala Tahan) serta kawasan pesisir di hilir sungai akan menerima impak kenaikan paras air antara tempoh empat atau lima jam kemudian,” katanya.
Menurut Roslan, pada awal bulan Februari lalu, cuma 40 peratus pengunjung domestik melawat ke situ semasa cuti hujung minggu dan yakin akan meningkat lebih 70 peratus kerana cuti persekolahan sudah bermula bergantung kepada keadaan cuaca.
Pemandu alam sekitar, Mohd. Kamil Hakim Rozali 32, berkata, fenomena banjir kilat dan kenaikan air Sungai Tembeling di daerah ini pada bulan Februari dan bulan berikutnya tidak pernah berlaku dan pelik berbanding tahun sebelum ini kerana waktu (bulan) ini sudah bermula musim kemarau dan sungai cetek.
“Pengusaha dan penggiat ekopelancongan di Taman Negara amat berharap keadaan ini segera pulih untuk membolehkan pengunjung domestik selesa berkunjung ke sini sepanjang cuti persekolahan mulai minggu ini,” ujarnya.- UTUSAN