Pencarum KWSP jadi sasaran sindiket penipuan - Utusan Malaysia

Pencarum KWSP jadi sasaran sindiket penipuan

RAZARUDIN HUSAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis menasihati agar orang ramai tidak mudah terperdaya dengan helah sindiket penipuan yang menyasarkan individu mahu mengeluarkan simpanan khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain berkata, pihaknya akan terus memantau kegiatan sindiket penipuan berkenaan.

Kata beliau, meskipun hampir setiap hari pihak polis mengeluarkan kenyataan mengenai sindiket penipuan ini, namun masih ada segelintir individu yang terpedaya dengan iklan berkenaan.

“Justeru, kita menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dan pada masa sama kami akan melakukan pemantauan bagi memastikan masyarakat tidak tertipu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara KOP Mantap Berhad bersama rakan strategik di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan keputusan kerajaan yang membenarkan pengeluaran khas caruman KWSP sehingga RM10,000 kepada ahli berusia 55 tahun ke bawah bermula 1 April sehingga 30 April ini.

Mengulas mengenai cadangan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor untuk membenarkan eksport ketum ke luar negara, beliau berkata, kenyataan berkenaan mungkin pendapat peribadi pemimpin terbabit.

“Ketum ini termasuk di dalam Akta Racun 1952. Jadi, apabila perkara-perkara yang di bawah perundangan, ia mungkin pendapat (peribadi) Menteri Besar itu sendiri.

“Kalau ia (ketum) satu perkara yang bagus, mungkin ia perlu dibawa kepada kerajaan Pusat untuk diluluskan dan dikeluarkan dari Akta Racun,” jelasnya.

Semalam, kerajaan negeri Kedah mencadangkan supaya ketum dibenarkan untuk dieksport ke luar negara terutama Thailand bagi membolehkan negara memperoleh manfaat daripada langkah berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN