KUCHING: Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah menyokong sepenuhnya pertambahan kerusi parlimen untuk Sabah dan Sarawak ditambah.
Katanya, kerusi parlimen di Dewan Rakyat bagi kedua-dua negeri itu perlu diberikan penambahan sekurang-kurangnya untuk mencapai satu pertiga jumlah kerusi dalam parlimen.
“Ini adalah “safeguard” yang telah dipersetujui sejak dalam perundingan penubuhan Malaysia lagi.
“Justeru, saya menyokong sepenuhnya kepada hujahan yang dilontarkan oleh Ahli Parlimen Kota Samarah, Datuk Rubiah Wang pada ucapan beliau semasa di Dewan Rakyat pada Isnin lalu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Terdahulu, Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang menggesa kepada pihak kerajaan untuk mengiktiraf Sarawak dan Sabah sebagai sebuah wilayah dan menambah sekurang-kurangnya 29 kerusi parlimen untuk wilayah tersebut.
Perkara ini mustahak sebagai usaha melindungi hak-hak keistimewaan dan pengiktirafan Sarawak dan Sabah sebagai rakan kongsi dalam pembentukan Malaysia, kata Rubiah dalam ucapan beliau semasa di Dewan Rakyat pada Isnin.
Sementara itu kata Abdul Karim, “safeguard” yang dimaksudkannya adalah perkara asas bagi menjaga hak-hak negeri agar ia tidak terhakis sewenang-wenangnya begitu saja.
“Dalam setiap penubuhan persekutuan, hubungan kerajaan pusat dan kerajaan negeri seharusnya menerapkan nilai-nilai yang baik, keakraban dan keharmonian bagi mewujudkan kestabilan politik.
“Justeru, penambahan kerusi parlimen bagi dua buah negeri (Sabah dan Sarawak) wajar diberikan seperti mana perkara yang telah dipersetujui dalam penubuhan Malaysia,” tambahnya.
Dalam perbahasan di Dewan Rakyat, Ahli Parlimen Kota Samarahan Datuk Rubiah Wang turut menegaskan kekurangan kerusi parlimen dari kedua-dua negeri Sabah dan Sarawak dapat memberi kesan kepada satu keputusan yang dibuat.
“Sebarang pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan, meluluskan rang undang-undang di Dewan Rakyat serta memansuhkan undang-undang terdahulu boleh dilakukan tanpa sebarang masalah oleh perwakilan dari Semenanjung Malaysia sahaja sungguhpun kesemua perwakilan dari Sarawak dan Sabah memilih untuk tidak menyokong,” katanya.-UTUSAN