Pemuda UMNO tuntut Abdul Hadi mohon maaf  - Utusan Malaysia

Pemuda UMNO tuntut Abdul Hadi mohon maaf 

SYED MOHD. JOHAN RIZAL SYED UNAN MASHRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR:  Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang perlu memohon maaf kepada penduduk Johor khususnya yang beragama Islam atas kenyataan, Johor kurang kesedaran politik Islam.

Pengarah Komunikasi Pergerakan Pemuda UMNO, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, tidak adil untuk menghukum seisi negeri Johor sebagai ‘kurang kesedaran politik Islam’ semata-mata kerana Pas kurang mendapat sokongan daripada Bangsa Johor. 

“Sedangkan seluruh negara tahu betapa agama Islam begitu dititikberatkan oleh Bangsa Johor, diketuai oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar.

“Pas tidak wajar menggambarkan pihaknya sahaja yang memahami politik Islam, dan menghukum umat Islam lain, khususnya Bangsa Johor sebagai kurang sedar’. Pemuda UMNO menolak dan membantah keras bentuk pemikiran jumud seperti ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Bangsa Johor

Menurut  beliau, kenyataan Abdul Hadi itu sewajarnya membuka mata Bangsa Johor terhadap Pas yang jelas memandang rendah kepada umat Islam di negeri itu. 

“Naratif Pas menggambarkan hanya orang Pas sahaja yang memahami politik Islam dan umat Islam lain di Johor kurang kesedaran mengenainya,” jelasnya.

Katanya,  Abdul Hadi seharusnya memahami bahawa Islam dan Pas merupakan dua entiti yang berbeza. 

“Islam adalah sebuah agama, bukan parti politik. Manakala Pas pula adalah sebuah parti politik, bukan agama. 

“Seorang umat Islam yang memahami politik Islam tidak semestinya menyokong Pas manakala seorang ahli Pas pun tidak semestinya memahami politik Islam yang sebenar,” katanya.

Tambah beliau, umat Islam, sama ada dalam kalangan ahli mana-mana parti politik mahupun tidak berparti, namun tidak menyertai atau menyokong Pas adalah tetap beragama Islam dan berfahaman sunnah wal jama’ah. 

“Cuma ideologi politiknya berbeza. Berbeza ideologi politik dengan Pas tidak menggambarkan kami umat Islam kurang memahami politik Islam,” ujarnya.

Abdul Hadi dalam satu kenyataannya semalam berkata, kurang kesedaran politik Islam di Johor adalah punca Pas tidak mampu menawan hati penduduk negeri itu walaupun ia menjadi antara negeri terawal ditubuhkan cawangan parti berkenaan.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya