Pemandu Vellfire mengaku tidak bersalah pandu ketika mabuk

Pemandu Vellfire mengaku tidak bersalah pandu ketika mabuk

NG Kok Chai,46 hadir ke Mahkamah Majistret Klang, Selangor pada hari ini. - UTUSAN / ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Seorang pemandu Toyota Vellfire mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan pilihan memandu di bawah pengaruh minuman yang memabukkan sehingga menyebabkan kecederaan kepada warga emas, 10 Mac lalu.

Ng Kok Chai, 46, yang merupakan Orang Kena Saman (OKS) membuat pengakuan itu selepas pertuduhan pilihan dibacakan di hadapan Majistret Amirul Asyraf Abdul Rasid.

Berdasarkan pertuduhan pilihan, Kok Chai yang bekerja dalam bidang pembinaan didakwa sebagai pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) telah memandu kenderaan tersebut di bawah pengaruh minuman yang memabukkan sehingga menyebabkan kecederaan kepada penunggang motosikal Mohd. Shariff Semin, 63, pada pukul 9 pagi, 10 Mac lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 44(1A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333/87) Pindaan 2020.

Jika disabitkan kesalahan, dia boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan denda sehingga RM50,000.

Selain itu, dia boleh dihukum dengan diendorskan mana-mana lesen memandu dan hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan sesuatu lesen sehingga 10 tahun daripada tarikh sabitan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur’Ayuni Jamri mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000.

Peguambela, Atifah Muhammad bagaimanapun memohon jaminan RM8,000 memandangkan OKS merupakan penyara tunggal yang menanggung seorang isteri, dua orang anak yang masih bersekolah dan ibu yang sudah tua.

Mahkamah menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan 20 Mei ditetapkan untuk tarikh sebutan.

Kosmo! pada 10 Mac lalu melaporkan seorang lelaki warga emas cedera parah selepas motosikal dinaiki terlibat dalam kemalangan dengan MPV di Pandamaran Jaya.

Kejadian kira-kira pukul 9.05 pagi mengakibatkan Mohd. Shariff patah pada dua bahagian tulang rusuk, kaki dan tangan kanan.

Detik-detik kemalangan tersebut tular menerusi video berdurasi satu minit di laman sosial Facebook.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN