KLANG: Walaupun mengaut keuntungan sehingga RM150,000 atau mungkin lebih, namun tindakan kumpulan pelombong matawang kripto tidak kisah mencuri bekalan elektrik sehingga menyebabkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) alami kerugian kira-kira RM60,000.
Kegiatan mencuri bekalan elektrik dikesan pembaca meter TNB apabila terdapat sambungan secara haram dan dalam masa sama rekod bacaan penggunaan yang meragukan di tiga buah premis.
Disebabkan itu, tiga premis di Bandar Puteri dan Bayu Perdana di sini diserbu polis pada Selasa lalu dan semalam dalam operasi bersepadu Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan bersama Majlis Perbandaran Klang dan TNB.
Dalam serbuan tersebut, polis menahan 12 lelaki berusia antara 18 hingga 43 tahun serta merampas 155 unit mesin pelombong, 37 power supply, tiga set komputer, router dan modem yang kesemuanya bernilai kira-kira RM65,000.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, kesemua lelaki ditangkap ditahan reman selama dua hari bermula semalam.
“Semakan rekod jenayah suspek yang ditangkap didapati tujuh mempunyai rekod jenayah lampau dan salah seorang daripada mereka mempunyai rekod jenayah di bawah Seksyen 420, 395, 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 (1) Akta Pencegahan Jenayah 1959.
“Kesemua suspek warga tempatan merupakan penjaga premis dan juruteknik untuk memperbaiki mesin pelombong yang rosak,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau menambah, hasil siasatan mendapati aktiviti di ketiga-tiga premis terbabit beroperasi selama dua bulan dan mengaut keuntungan sehingga RM150,000.
Jelas Hoong Fong, kes disiasat di bawah Seksyen 37(3) Akta Bekalan Elektrik 1990 dan Seksyen 379 / 427 Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan serbuan berkenaan adalah sebahagian daripada kejayaan IPD Klang Selatan sejak awal tahun apabila Januari dan Februari lalu seorang lelaki ditahan dalam serbuan lima premis serta merampas 131 unit mesin pelombong matawang kripto.
Menurutnya, kegiatan perlombongan dilihat semakin berleluasa apabila pada tahun lalu polis menyerbu 11 premis dan menangkap enam lelaki serta merampas 696 mesin pelombong matawang kripto bernilai RM300,000.
“Kegiatan perlombongan matawang kripto secara tidak sah ini masih berleluasa dan perlu dibanteras bagi kepentingan masyarakat dan negara.
“Oleh itu, polis mengalu-alukan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat tentang kegiatan ini, boleh menyalurkannya ke IPD Klang Selatan di talian 03-33719999 atau mana-mana balai polis yang berhampiran,” katanya. – UTUSAN