PETALING JAYA: Rondaan keselamatan membabitkan Malaysia, Indonesia dan Filipina menerusi Perjanjian Kerjasama Trilateral (TCA) akan diperluas menerusi penglibatan pelbagai agensi dan kementerian berkaitan.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, penglibatan pelbagai agensi ketiga-tiga negara sekaligus mampu memperluaskan aspek pengawasan dan perisikan di kawasan operasi.
Katanya, ketiga-tiga negara juga telah bersetuju menempatkan Pegawai Perhubungan Peronda (TMP LO) di pusat pemerintahan tetap di setiap negara untuk membolehkan pertukaran maklumat dilakukan dengan lebih berkesan terutama membabitkan pemantauan dan pelaksanaan pengawasan maritim serta udara dengan lebih berkesan.
“Operasi dan kehadiran agensi dari ketiga-tiga negara dalam aspek kawalan keselamatan di sektor maritim juga akan dipertingkatkan di kawasan Laut Sulu dan Sulawesi.
“Malah, tiga-tiga negara juga telah bersetuju untuk mengadakan operasi bukan sahaja di maritim dan ruang, tetapi di kawasan daratan dengan diterajui oleh Panglima Angkatan Tentera negara kita,” katanya dalam sidang akhbar sejurus mempengurusikan mesyuarat TCA di peringkat menteri dalam Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA 2022) dan Keselamatan Kebangsaan Asia (NATSEC 2022), di sini hari ini.
Yang turut hadir, Setiausaha Pertahanan Filipina Delfin Lorenzana dan Menteri Pertahanan Republik Indonesia, Prabowo Subianto.
Dalam pada itu, Hishammuddin berkata, mesyuarat TCA peringkat menteri diadakan sekurang-kurangnya setahun sebagai komitmen dalam ketiga-tiga negara. – UTUSAN









