BALING: Pelatih Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) Bawah 14 Tahun yang dikhuatiri lemas ketika mandi di Sungai Ketil berdekatan Kampung Sungai Teluk Durian di sini semalam masih belum ditemukan sehingga petang ini.
Mangsa, Mohd. Saiful Izzudin Mustaffa, 14, yang tinggal di Kampung Padang Temu, Batu 48, Mukim Bongor di sini dipercayai hilang di sungai itu ketika mandi bersama rakan-rakannya pada pukul 1 petang semalam.
Mohd. Saiful yang akan menyambut hari kelahiran esok sedang bercuti semester dan berada di kampung halaman dari 19 Mac lalu hingga 27 Mac depan.

Anak saudara mangsa, Mohamad Zakuan Irfan Mohd. Zaidi, 14, yang turut mandi bersama Mohd. Saiful Izzudin berkata, dia mengharapkan saudaranya itu ditemukan segera dalam keadaan selamat.
“Sejak semalam saya menunggu dengan penuh debaran dan berdoa semoga Mohd. Saiful Izzudin ditemukan segera,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Mengimbau kejadian semalam, Mohamad Zakuan Irfan memberitahu, dia bersama mangsa dan beberapa rakannya mandi di sungai tersebut yang terletak kira-kira dua kilometer dari rumah mangsa pada pukul 1 petang.
Katanya, ketika mandi, dia melihat mangsa menyelam beberapa kali sebelum hilang dibawa arus.
“Saya dan rakan-rakan melihat dia menyelam agak lama dan salah seorang rakan memegang bahunya tetapi ditepis beberapa kali. Setelah itu, Mohd. Saiful Izzudin hilang daripada pandangan kami dan kami segera mencarinya di tempat dia menyelam tetapi gagal menemukannya,” katanya.
Tambahnya, setelah gagal mencari mangsa, mereka segera ke rumah mangsa untuk memaklumkan kehilangan mangsa.
Sementara itu, kakak mangsa, Nur Iliana Safina, 16, berkata, dia mengharapkan Mohd. Saiful Izzudin ditemukan dalam keadaan selamat kerana adiknya itu akan menyambut hari kelahirannya, esok.
Menurutnya, dia sebelum ini sedih kerana tidak dapat membuat persiapan menyambut hari kelahiran adiknya itu termasuk membeli kek kerana tidak mempunyai duit mencukupi.
“Mohd. Saiful Izzudin merupakan anak bongsu daripada empat beradik juga meminati sukan bola sepak dari kecil dan bercita-cita menjadi seorang pemain bola sepak profesional,” katanya. – UTUSAN










