Pelajar suku kaum Kansui mampu cipta sejarah masuk universiti - Utusan Malaysia

Pelajar suku kaum Kansui mampu cipta sejarah masuk universiti

WAHI Nordin (kanan) memberikan taklimat ringkas kepada Razali Kulim (empat dari kiri) yang hadir pada Program Outreach Jom Masuk IPT di Baling hari ini. - UTUSAN/NORLIA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING: Tok Batin suku kaum Kansui dari Kampung Orang Asli Lubuk Legong di sini melahirkan hasrat untuk melihat anak-anak daripada masyarakat tersebut mencipta sejarah berjaya melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini.

Razali Kulim, 43, berkata, dia percaya terdapat dalam kalangan anak-anak masyarakat Orang Asli di kampung itu mampu menjejakkan kaki ke IPT di peringkat diploma dan ijazah atau sekurang-kurangnya menggenggam Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).

Menurutnya, hasrat itu mampu dicapai memandangkan kebanyakan pelajar Orang Asli daripada suku kaum Kansui didapati semakin menunjukkan minat yang tinggi terhadap pelajaran berbanding sebelum ini.

“Kami sentiasa menghargai dan berterima kasih kepada kerajaan yang sentiasa memberi perhatian kepada masyarakat kami terutamanya dalam usaha membantu pelajar Orang Asli dapat meneruskan pelajaran di universiti.

“Saya amat mengharapkan ada dalam kalangan anak-anak kami berjaya ke IPT dan menggenggam segulung ijazah sebagai inspirasi kepada anak-anak kami yang lain untuk berlumba-lumba mencapai kejayaan demi mengubah nasib mereka di masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Outreach Jom Masuk IPT di Dewan Kenangan Tun Abdul Razak, Baling di sini hari ini.

Program selama dua hari itu melibatkan sebanyak 19 universiti awam dan swasta untuk memberikan pendedahan kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang ingin menyambung pengajian ke IPT.

Masyarakat Orang Asli suku kaum Kansui merupakan suku kaum yang tertua di negara ini. Mereka merupakan dari suku kaum Orang Asli daripada rumpun bangsa Semang – Negrito.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA, Wahi Nordin berkata, pihaknya sentiasa memberi perhatian terhadap pelajar masyarakat Orang Asli di seluruh negara untuk memberi peluang kepada mereka melanjutkan pengajian.

Sehubungan itu katanya, pelajar masyarakat tersebut disaran merebut peluang yang ditawarkan itu bagi mengubah nasib dan masa hadapan keluarga dan masyarakatnya.

“Kami berbangga dengan hasrat yang disampaikan oleh Tok Batin, Razali yang ingin melihat pelajar-pelajar masyarakat suku kaum Kansui dapat melanjutkan pengajian ke IPT,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN