PETALING JAYA: Gaji di Malaysia terlalu rendah hingga ada yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang malah ada yang menggelarkan mereka sebagai hamba abdi gaji.
Itu kata Pengerusi Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Abdul Halim Husin yang mengulas keadaan semasa membabitkan golongan pekerja yang mendapat upah rendah, sedangkan kos sara hidup semakin meningkat.
“Semua pekerja tak kira kaum menerima gaji dan upah yang tak sepatutnya termasuk orang Cina, India, Kadazan, Iban. Ini lebih-lebih lagi dalam kalangan Melayu yang terdiri daripada 60 peratus berbanding jumlah pekerja. Maka perlu ada tindakan untuk membetulkan keadaan ini.
“Memang akan ada kesan pada semua majikan termasuk Melayu dan bumiputera, tapi dasar meningkatkan gaji antara lain melalui gaji minimum ini adalah penting.
“Ini kerana, majoriti rakyat hanya bergantung pada pendapatan daripada pekerjaan. Bukan semua rakyat peniaga atau majikan,” katanya kepada Mingguan Malaysia, baru-baru ini.
Katanya, majikan di negara ini tidak perlu risau menaikkan kadar gaji minimum pekerja, kerana langkah itu akan memperkukuhkan perniagaan masing-masing dalam jangka masa panjang.
“Dalam jangka masa panjang, masalah dihadapi oleh majikan bumiputera akan terlerai dengan semula jadi. Ini kerana kos tambahan daripada kenaikan gaji boleh dipindahkan kepada pengguna melalui kenaikan harga.
“Pasaran akan berkembang kerana kuasa beli pengguna meningkat. Ini akan memberi kesan yang lebih baik untuk semua pengusaha, peniaga dan usahawan,” katanya.
Pegangan saham
Sementara itu, bagi syarikat-syarikat besar pula, Abdul Halim mencadangkan agar memberi pegangan saham secara langsung kepada pekerja sama ada melalui kesatuan atau koperasi pekerja bagi mengimbangi kadar kenaikan gaji pekerja masing-masing.
“Sekiranya ini berlaku, keperluan gaji minimum tidak lagi diperlukan kerana semua mendapat gaji yang sepatutnya berdasarkan persefahaman antara majikan dan pekerja untuk mencapai produktiviti yang optimum,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Halim berkata, kerajaan boleh meneruskan perancangan sedia ada dan terus mengkaji kaedah untuk memastikan nisbah gaji pekerja dengan majikan dapat dikurangkan.
“Pelaksanaan gaji minimum boleh dilakukan mengikut sektor dan kawasan. Ini akan menggalakkan sektor tertentu berpindah untuk mendapat kos yang rendah dan memberi peluang pekerjaan di luar bandar.
“Sektor yang memerlukan lebih masa untuk proses automasi seperti perladangan dan pembinaan mungkin diberi pengecualian sementara waktu oleh kerana ia bergantung pada tenaga buruh asing. Selain itu, sebahagian daripada jumlah gaji minimum juga boleh diberi melalui baucar yang hanya boleh ditebus melalui pembelian di syarikat atau pasar raya tempatan,” katanya.- UTUSAN
Wawancara penuh di muka surat 12 dan 13











