PBT hadapi masalah lantik kontraktor tangkap haiwan ternakan berkeliaran - Utusan Malaysia

PBT hadapi masalah lantik kontraktor tangkap haiwan ternakan berkeliaran

GAMBAR tular di media sosial beberapa ekor lembu yang berada di laluan utama Bandar Springhill, Port Dickson sehingga mengundang rasa kurang senang penduduk.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Hampir kesemua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini menghadapi kesukaran melantik kontraktor bagi menangkap haiwan ternakan berkeliaran seperti lembu dan kerbau yang mendatangkan masalah termasuk mengundang risiko kepada keselamatan pengguna jalan raya.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kesukaran yang dimaksudkan itu adalah ketiadaan kontraktor yang berminat untuk menjalankan tugas berkenaan walaupun pihak PBT menawarkan pembayaran yang baik.

“Hampir kesemua PBT menghadapi masalah untuk melantik kontraktor walaupun bayaran tidak rendah malah berpatutan. Sebab mereka rasa kurang keberanian antaranya berpunca daripada halangan-halangan daripada masyarakat sendiri,” katanya kepada pemberita di sini.

Sebelum ini kerajaan Negeri Sembilan memberikan kelulusan kepada PBT untuk melantik sendiri kontraktor bagi menangkap haiwan ternakan seperti lembu dan kerbau yang berkeliaran sehingga mengundang isu keselamatan terhadap pengguna jalan raya.

Pelantikan kontraktor tersebut termasuk untuk menyediakan lokasi bagi menempatkan haiwan ternakan yang telah ditangkap tersebut.

Dalam pada itu, menurut Aminuddin, masalah yang berlaku itu bukanlah perkara baharu dan tindakan juga kerap diambil malah ia juga dibincangkan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Di dalam DUN juga ada yang tidak puas hati apabila tindakan diambil namun apabila berlaku kemalangan, semua diam. Bagaimanapun saya minta masyarakat, jika ada maklumat terus maklumkan kepada PBT supaya tindakan dapat diambil.

“Saya harap pihak yang dikenakan tindakan pula mesti faham bahawa kami bukan suka-suka kerana ia boleh menyebabkan kemalangan.

“Apabila kemalangan berlaku, kecederaan yang berlaku sangat mendatangkan derita kepada keluarga yang menimpanya apatah lagi jika ia melibatkan kematian, lagilah akan terkesan. Tindakan ini untuk kebaikan semua,” katanya.

Sementara itu, hari ini tular di media sosial, gambar beberapa ekor lembu berada di kawasan jalan raya di Bandar Springhill, Port Dickson yang mendatangkan rasa kurang senang penduduk. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya