Parti teras, integrasi bukan asimilasi - Utusan Malaysia

Parti teras, integrasi bukan asimilasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

UMNO bertanding lebih kerusi berbanding parti komponennya yang lain dalam Barisan Nasional (BN) di Johor, 12 Mac ini bukan disebabkan mahu kaut semua.

Tetapi kata Naib Presidennya, DATUK SERI MOHAMED KHALED NORDIN, keputusan itu kerana berpegang kepada konsep parti teras demi menjamin kestabilan melalui gabungan tersebut.

Kepada wartawan Utusan Malaysia, JUANI MUNIR ABU BAKAR dan AHMAD FADHLULLAH ADNAN, bekas Menteri Besar Johor itu menyifatkan susunan, struktur dan pendekatan ditampilkan BN sangat jelas dari aspek perkongsian kuasa sekali gus membawa konsep parti teras berbanding parti-parti politik lain di negara ini.

UTUSAN: Beza BN dengan parti-parti lain?
KHALED: BN mempunyai susunan, struktur dan pendekatan sangat jelas dari aspek perkongsian kuasa dalam membawa kestabilan. Dari segi soal perkongsian kuasa, BN sangat jelas iaitu kita tidak seperti gabungan politik lain yang mana mereka berkehendakkan setiap parti bertanding dengan kerusi yang lebih kurang sama.

Untuk BN, parti-parti yang jadi komponen tidak menuntut perkara sedemikian tetapi membenarkan UMNO bertanding lebih kerusi. Parti komponen lain masuk juga bertanding tetapi tidaklah sama banyak macam UMNO.

Maknanya dalam BN ada parti teras. Gabungan parti politik lain tiada parti teras, jadi mereka tidak membawa kestabilan. Gabungan tiada parti teras sentiasa bersaing, berlawan dan bergaduh antara satu sama lain.

Maksudnya?
Lihat jumlah kerusi yang BN bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor. Walaupun 50 peratus daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah 28, tetapi UMNO tidak bertanding 28 kerusi. UMNO bertanding 37, MCA, 15 manakala MIC, empat. Sekiranya apa-apa berlaku, UMNO kuat.

Maknanya formulanya begitu dengan syarat rakyat sokong semua?
Jika kita lihat pula Pakatan Harapan (PH), sekutunya, Parti Amanah Negara (Amanah) bertanding 16, DAP (14) dan PKR (20). Jadi, tak ada siapa yang lebih 28 dan tiada parti teras. Sekiranya apa-apa berlaku daripada keputusan 12 Mac ini, DAP boleh tarik Amanah supaya lebih kerusi daripada PKR dan PKR boleh tarik (kerusi) Amanah lebih daripada DAP.

Dalam Perikatan Nasional (PN) pula, betul Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bertanding lebih 30 kerusi, tetapi ada Friends of PN iaitu sayap bersekutu (yang disertai bukan Melayu). Itu sebab konsep dan susunan BN bawa kestabilan. Lihatlah berapa banyak kerusi (yang dipertaruhkan kepada UMNO).

Dahulu, ingat tak Bersatu pernah katakan UMNO jangan jadi ‘abang besar’, jangan cuba jadi dominan dan tak benarkan bertanding lebih daripada 50 peratus (di Melaka)?

Sebab tidak mahu kita jadi teras. Pada kita, teras itulah yang membawa kestabilan.

Apa maksud Datuk Seri gabungan mempunyai parti teras bawa kestabilan?
Politik majmuk itu memerlukan orang Melayu menjadi teras dalam kerajaan. Katalah ada kerajaan tetapi orang Melayu tak menyertai, boleh ‘jalan’ tak kerajaan itu? Itu sebabnya kena faham dan itulah konsep BN.

Saya UMNO dan saya perjuangkan orang Melayu, MCA perjuangkan kaumnya dan MIC begitu juga. Namun, apabila mereka datang ke BN, kita toleransi dan kena sederhana manakala parti komponen lain jangan cakap soal bangsa, itu konsepnya. Jika nak bercakap soal orang Melayu, cakap dalam UMNO-lah. Itu pendirian kami.

Tetapi apabila kita pergi ke BN, kita menerima masyarakat kita masyarakat majmuk, maka kita toleransi dan bersederhana.

Sebelah sana (pembangkang) pula masuk sahaja tak boleh cakap pasal kaum. Kamu masuk saja PKR boleh cakap tak (soal orang Melayu) sebab di dalamnya itu ada orang Cina dan India? Sekarang orang Melayu nak cakap pasal orang Melayu, maka UMNO-lah (jawapannya).

Begitulah cara kita mengurus Malaysia yang majmuk. Formula BN adalah yang terbaik, barulah stabil. Ada PKR boleh buat macam itu? Tak boleh cakap tentang orang Melayu pun. Itu sebabnya parti berasaskan identiti masih lagi relevan kerana kita ada BN.

Jadi, adakah parti berasaskan identiti masih boleh diterima?
BN mengambil pendekatan integrasi, bukan asimilasi. Ada kaum Cina, India dan Melayu. Kita tidak suruh Melayu jadi Cina atau India. Kita juga tak cuba nak bangunkan satu nilai rojak, tidak. Melayu kekal Melayu, tetapi kita boleh bersama untuk mendukung satu-satu matlamat seperti pembangunan, keselamatan untuk kepentingan negara.

Melayu dahulu atau bangsa Malaysia dahulu itu semua politik saja. Jika kita tak kekalkan semua ini, maka 10, 20 atau 50 tahun akan datang, karakter Malaysia itu akan hilang.

Apa karakter Malaysia?
Karakter Malaysia ada orang Melayu, ada orang Cina, India dan kekal Melayu, Cina serta India. Dalam negara ini terasnya orang Melayu, itu karakter. Bahasa kebangsaan adalah bahasa Melayu. Kita lihat sebelum ini pun dia (pembangkang) nak buang semua itu (apabila mentadbir) kerajaan dengan menggunakan bahasa Mandarin dalam komunikasi surat menyurat kerajaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya