KOTA KINABALU : Ahli Parlimen Parti Warisan (Warisan) mendesak agar isu berkaitan keputusan Mahkamah Timbang Tara Paris yang mengarahkan Malaysia membayar pampasan waris Sultan Sulu AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) dibahaskan di Dewan Rakyat.
Dalam satu kenyataan bersama tujuh ahli parlimen Warisan itu berkata, usul oleh Isnaraissah Munirah Majilis (Warisan-Kota Belud) harus diberikan keutamaan kerana ia dianggap kepentingan awam dan harus segera dibahas serta dibincangkan di Dewan Rakyat.
“Arahan pembayaran oleh Mahkamah Timbang Tara Paris bukan satu perkara yang boleh diremehkan dan ianya bakal memberi implikasi yang besar dan mengundang masalah yang lebih berat kepada negara jika tidak ditangani dengan segera dan tegas.
“Perbahasan dan keputusan yang tuntas dan muktamad di dewan mulia ini adalah lebih utama dan diyakini kerana kita mewakili 32.7 juta rakyat Malaysia serta dapat memastikan tuntutan-tuntutan tidak berasas oleh Kesultanan Sulu dan negara Filipina ini dapat ditamatkan sekalig gus’,” katanya.
Tujuh ahli Parlimen itu ialah Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal (Semporna), Datuk Ignatius Dorell Leiking (Penampang), Datuk Rozman Isli (Labuan), Datuk Mohd. Azis Jamman (Sepanggar), Isnaraissah, Ahmad Hassan (Papar) dan Ma’mun Sulaiman (Kalabakan).
Semalam, Isnaraissah mempertikaikan kegagalan kerajaan Persekutuan dalam mempertahankan Sabah daripada terus dituntut oleh Filipina dan Kesultanan Sulu.
“Sikap bodoh simbong dan kelekaan kita meremehkan Filipina menyebabkan kita tiba-tiba dikejutkan dengan keputusan Mahkamah Timbang Tara Paris. Namun, timbul persoalan mana wakil Malaysia semasa prosiding berkenaan dilakukan.
“Lebih baik RM62.59 bilion itu diberi kepada Sabah untuk memenuhi obligasi kerajaan Persekutuan kepada Sabah.
“Kerajaan Persekutuan perlu tangkas dan tidak boleh melengahkan sebarang bentuk tindakan yang perlu diambil bagi mempertahankan Sabah. Kita perlu bertegas,” katanya.
Pada 3 Mac lalu, Kementerian Luar dan Jabatan Peguam Negara dalam satu kenyataan bersama memaklumkan kerajaan Malaysia menolak sepenuhnya tuntutan sebanyak AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) yang dikatakan perlu dibayar kepada keturunan Sultan Sulu.
Sebelum ini, agensi berita Sepanyol melaporkan penimbang tara Sepanyol, Gonzalo Stampa mengarahkan Malaysia membayar pampasan kepada waris Sultan Sulu berjumlah AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion).
Isu itu timbul kerana Malaysia didakwa tidak membayar wang pemisah sejak 2013 maka, Malaysia dikatakan melanggar Perjanjian 1987 yang ditandatangani oleh Sultan Jamal Al-Alam, Baron De Overbeck dan Alfred Dent mewakili syarikat British Utara Borneo. UTUSAN
Ends.