Tengku Zafrul letak jawatan Menteri Kewangan?  - Utusan Malaysia

Tengku Zafrul letak jawatan Menteri Kewangan? 

TENGKU ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz didakwa meletakkan jawatan setelah ketidakhadirannya di Dewan Rakyat bagi mengemukakan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2021 (2022). 

Ia dikaitkan dengan kenyataan Tengku Zafrul menerusi wawancara bersama media tempatan sebelum ini sebagai berkata, beliau rela meletak jawatan daripada berkompromi dengan sebarang keputusan melibatkan kementeriannya yang difikirkan silap, termasuk pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000 secara sekali. 

Ketika Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Indera Mohd. Shahar Abdullah tampil di Dewan Rakyat bagi mengemukakan RUU Perbekalan Tambahan (2021) 2022, Datuk Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena) meminta kepastian sama ada Tengku Zafrul sudah meletakkan jawatan atau belum.

“RUU Perbekalan ini mesti dibentang atas nama menteri dan diwakili oleh Timbalan Menteri. Maknanya Tengku Zafrul belum meletakkan jawatan? Sebab beliau pernah menyatakan jika diluluskan pengeluaran KWSP, beliau rela letak jawatan.

“Jadi, semalam Perdana Menteri telah umumkan perkara ini, adakah dengan ketidakhadiran beliau pada sesi soal jawab menteri beliau belum letak jawatan? Kalau belum, bermakna timbalan menteri tidak boleh mewakili Menteri Kewangan?” Soalnya di Dewan Rakyat hari ini. 

Bagaimanapun, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Ramli Mohd. Nor berkata, mengikut peraturan mesyuarat, Timbalan Menteri Kewangan boleh menjadi wakil dalam pembentangan RUU itu dan pihaknya masih belum menerima sebarang makluman berhubung perletakan jawatan Tengku Zafrul.

Sebelum itu, Datuk Seri Salim Sharif (BN-Jempol) menyampaikan pantun berbunyi: “Soalan sembilan sudah dibuka, silakan menteri usah ternganga, pengeluaran KWSP pengubat duka, keluarga Malaysia kembali ceria”.

Selepas itu, Khalid Abdul Samad (PH-Amanah) pula berkata: “Menteri kewangan nak letak jawatan, macam mana kata ceria?”. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya