KUALA LUMPUR: Chan Foong Hin (PH-Kota Kinabalu) membangkitkan persoalan terhadap tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang membebaskan tanpa melepaskan seorang tertuduh yang terlibat dengan 146 kes pengubahan wang haram di Sabah.
Ketika membangkitkan perkara itu di Dewan Rakyat hari ini, Foong Hin menuntut jawapan daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang). Ini kerana tindakan SPRM boleh menjejaskan persepsi orang awam terhadap keseriusan kerajaan membanteras rasuah.
“Sini saya ingin bangkitkan isu tentang seorang pegawai kerajaan kerana beliau dibebaskan tanpa dilepaskan.
“Bagi 146 pertuduhan pengubahan wang haram di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu, tertuduh dikenakan bayaran kompaun RM30 juta mengikut Seksyen 92 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram.
“Skandal itu merupakan antara kes rasuah terbesar di negara ini. Presiden Persatuan Undang-Undang Sabah, Roger Ng mempertikaikan apakah justifikasi SPRM memutuskan dan menghentikan pendakwaan dan sebaliknya menggunakan cara bayaran kompaun ini untuk membebaskannya tanpa melepaskan,” katanya. – UTUSAN