[PARLIMEN] Lemah, kurang kakitangan punca Nadma distruktur semula  - Utusan Malaysia

[PARLIMEN] Lemah, kurang kakitangan punca Nadma distruktur semula 

KEUPAYAAN Nadma juga terbatas untuk menyelaras tindakan pengurusan bencana di peringkat setempat yang melibatkan pelbagai pihak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Struktur Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) yang ‘padat dan berat’ menyebabkan berlaku kepincangan dalam pelaksanaan mekanisme pengurusan bencana berpaksikan Jawatankuasa Pengurusan Bencana di peringkat Daerah, Negeri dan Pusat.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Mastura Mohd. Yazid berkata, ekoran struktur organisasi berkenaan yang disifatkan kecil dan hanya beroperasi di peringkat Pusat serta tidak mempunyai kakitangan di peringkat Negeri dan Daerah, telah menyukarkan koordinasi dan penyampaian maklumat dua hala secara terus dengan agensi-agensi di lapangan.

Justeru, dengan alasan tersebut mewajarkan Kabinet memutuskan supaya struktur Nadma diteliti semula untuk diperkukuhkan selaras dengan pengurusan bencana negara.

“Kelemahan paling ketara yang dikenal pasti berikutan kejadian banjir sewaktu Monsun Timur Laut 2021/2022 yang lalu adalah isu rantaian perintah (chain of command) di dalam pelaksanaan mekanisme tindak balas bencana.

“Keupayaan Nadma juga terbatas untuk menyelaras tindakan pengurusan bencana di peringkat setempat yang melibatkan pelbagai pihak meliputi komuniti, pertubuhan bukan kerajaan, kerajaan tempatan dan pihak swasta dalam usaha mengarusperdanakan pengurangan risiko bencana, kesiapsiagaan, pemerkasaan komuniti dan pendidikan,” katanya dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan implikasi kewangan dalam penstrukturan Nadma masih belum dikenal pasti dan akan diketahui setelah cadangan penstrukturan semula dipersetujui melalui perbincangan dengan Ketua Setiausaha Negara dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Mastura berkata demikian menjawab soalan Datuk Seri Hasan Arifin (BN-Rompin) meminta kerajaan menyatakan keperluan mendesak mengenai cadangan mewujudkan Nadma 2.0 yang akan melibatkan tambahan perbelanjaan berbanding menambah baik fungsi kecekapan dan keberkesanan Nadma yang sedia ada.

Dalam soalan tambahan, Mastura memaklumkan Malaysia semakin jauh ketinggalan dalam aspek bilangan pegawai, pakar dan individu berpengalaman dalam Nadma jika dibandingkan dengan Filipina dan Indonesia.

“Jika dibandingkan perjawatan antara agensi pengurusan bencana dengan negara jiran, Majlis Pengurusan Pengurangan Risiko Bencana Nasional (NDRRMC) di Filipina memiliki 900 pegawai sokongan.

“Di Indonesia, Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB) mempunyai seramai 630 kakitangan, tidak termasuk 33 cawangan BNPB pada peringkat wilayah dan 12 cawangan pada peringkat daerah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya