KUALA LUMPUR: Lima siren amaran akan dipasang di sekitar ibu negara bagi memberi amaran awal kepada warga kota jika terdapat kemungkinan berlakunya banjir kilat.
Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, siren amaran berkenaan akan dipasang di Lorong Kiri Keramat 15, Terowong Chan Sow Lin, Taman U-Thant, Jalan Sembilan di Kg. Cheras Baru dan Sg. Kayu Ara, dengan kerja-kerja awal telah pun dimulakan.
Katanya, pemasangan sistem amaran itu merupakan antara inisiatif Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam menambah aset bagi pengurusan bencana banjir, selain pemasangan tambahan 51 kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan hotspot banjir.
Namun, setakat ini hanya 13 CCTV telah siap dipasang dan bakinya masih dalam proses pemasangan.
“Kita maklum Terowong Smart dapat membantu mengurangkan atau mencegah berlakunya banjir kilat, tapi itu tidak boleh menampung kawasan di Kuala Lumpur.
“Disebabkan itu, DBKL telah mengambil beberapa pendekatan untuk kita memberikan sistem amaran awal kepada masyarakat dan warga kota tentang kemungkinan berlakunya banjir kilat yang boleh mendatangkan kerugian kepada kerajaan dan rakyat,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Che Abdullah Mat Nawi (PN-Tumpat) berhubung keberkesanan Terowong Smart di ibu kota dalam menangani masalah banjir kilat.
Ketika ditanya Hannah Yeoh (PH-Segambut) sama ada pasukan Jabatan Kejuruteraan Awam dan Saliran DBKL akan diperkasakan, Jalaluddin berkata pihaknya sedang meneliti untuk menambah kekuatan pasukan berkenaan bagi menjalankan tugas pemantauan cerun dan kawasan berbukit.
Ini memandangkan ketika ini terdapat 3,441 kawasan berbukit dan cerun di Kuala Lumpur yang perlu dipantau pasukan berkenaan yang kini hanya memiliki kekuatan kira-kira 300 orang.
Dalam pada itu, Jalaluddin berkata DBKL telah menjadikan syarat kelulusan Jabatan Pengairan Saliran Kuala Lumpur sebagai syarat wajib dalam setiap kelulusan Perintah Pembangunan.
“DBKL ada menetapkan syarat Perintah Pembangunan (DO) kepada pemaju untuk mematuhi keperluan penyediaan infrastruktur yang lengkap.
“Antaranya Laporan Penilaian Kesan Trafik (TIA) di bawah Jabatan Perancangan Infrastuktur DBKL dan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) di bawah Jabatan Alam Sekitar dan Kementerian Alam Sekitar dan Air,” katanya.
Beliau menjawab soalan Nik Nazmi Nik Ahmad (PH-Setiawangsa) berhubung kesiapsiagaan Kuala Lumpur berhadapan dengan kesan iklim yang semakin ekstrem termasuk banjir dan tanah runtuh dalam tempoh 20 tahun akan datang.-UTUSAN