[PARLIMEN] Bukan semua graduan ikhtisas pendidikan diambil jadi guru - KPM - Utusan Malaysia

[PARLIMEN] Bukan semua graduan ikhtisas pendidikan diambil jadi guru – KPM

MAH HANG SOON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bukan semua graduan ikhtisas pendidikan dapat dimasukkan menerusi sesi pengambilan guru secara sekali (one-off).

Timbalan Menteri Pendidikan I, Dr. Mah Hang Soon berkata, graduan berkenaan perlu melalui proses-proses yang telah ditetapkan oleh kerajaan sebelum bersedia dilantik ke jawatan tetap sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (SPP) dalam kerajaan.

“Bukan semua graduan dengan ikhtisas dapat kita ambil untuk pengambilan one-off ini, mereka perlu melalui proses ditetapkan,” katanya ringkas semasa sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, Ahmad Hassan (WARISAN-Papar) bertanya dalam soalan tambahan kepada Hang Soon yang ingin mengetahui jumlah graduan ikhtisas di seluruh negara masih belum ditawarkan pekerjaan sebagai guru dan jika mereka akan dimasukkan menerusi sesi pengambilan secara sekali.

Bagaimanapun, ahli Dewan Negara itu dilihat tidak menjawab soalan diajukan mengenai jumlah graduan ikhtisas yang terlibat.

Pada 7 Mac lalu, sekumpulan 13 graduan ikhtisas pendidikan hadir menyerahkan memorandum kepada Kementerian Pendidikan supaya mengutamakan graduan ikhtisas pendidikan terlebih dahulu sebelum menawarkan penempatan guru kepada lepasan graduan lain.

Mengulas lanjut, Ahmad turut menyoal sama ada kerajaan bercadang menyambung kontrak guru interim memandangkan ramai dalam kalangan mereka khususnya opsyen Bahasa Inggeris dan Pendidikan Islam di Sabah dan Sarawak akan menamatkan khidmat kontrak tahun ini.

Hang Soon pula berkata, berdasarkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 Kementerian Pendidikan, mensyaratkan graduan fasih berbahasa Melayu dan bahasa Inggeris di tahap ‘independent proficiency‘ seperti ditakrifkan oleh Common European Framework of Reference for Languages (CEFR).

“Bagaimanapun, guru interim yang tidak memenuhi syarat CEFR C1, akan turut ditemuduga untuk tujuan lantikan tetap sebagai PPP Gred DG41 oleh SPP namun perlu mencapai tahap CEFR C1 dalam tempoh percubaan satu hingga tiga tahun bagi tujuan pengesahan dalam perkhidmatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN