KUALA LUMPUR: Usaha untuk melihat Malaysia bebas rasuah harus bermula peringkat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selaku badan bertanggungjawab untuk membasmi gejala itu di Malaysia.
Ahli Parlimen Kota Melaka daripada DAP, Khoo Poay Tiong berkata, apa yang penting ialah orang nombor satu suruhanjaya itu sendiri juga perlu berintegriti untuk menjadi contoh yang terbaik.
Bagaimanapun kata Poay Tiong, sebaliknya yang berlaku dalam kes pemilikan saham yang dikaitkan dengan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dan sehingga hari ini masih tiada siasatan menyeluruh.
“Orang nombor satu SPRM harus berintegiriti. Dalam kes Azam di mana beliau miliki saham melebihi daripada apa yang dibenarkan. Apabila kes dibongkarkan sehingga hari ini, masih belum ada siasatan lengkap dan menyeluruh.
“Ada yang kata kes harus tutup sebab Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) sudah buat siasatan. Waktu kes dibongkarkan…ada satu sidang media oleh Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Azma juga beri penerangan.
“Azam kata beliau tidak bersalah kerana akaun digunakan oleh adik. Selepas itu, SC kata tidak boleh, akaun tidak boleh dipakai oleh orang lain dan salah. Selepas SC siasat, selepas itu SPRM pula kata mahu siasat SC.
“Siasat punya siasat, akhirnya SC kata tiada kes dan Azam ucap terima kasih,” katanya di Dewan Rakyat ketika membahaskan Titah Ucapan Yang di-Pertuan Agong.
Dalam pada itu kata Poay Tiong, sekiranya betul Azam telah mengisytiharkan tentang pemilikan saham, beliau meminta dua bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM tampil untuk memberi penjelasan.
“Saya mahu minta kedua-dua bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM iaitu Tan Sri Abu Kassim Mohamed dan Tan Sri Dzulkifli Ahmad sahkan, betul atau tidak Azam ada laporkan kepada mereka tentang pemilikan saham ini.
“Jika ya…kenapa tidak ada sebarang tindakan diambil kerana mengikut ketetapan, mereka (penjawat awam) tidak seharusnya memiliki (saham) lebih RM100,000. Atau adakah perkara ini normal?” soalnya. – UTUSAN










