Operasi cari mangsa tertimbus henti sementara

Operasi cari mangsa tertimbus henti sementara

KERJA-KERJA mengalihkan batu terpaksa dihentikan sementara ekoran berlaku runtuhan kecil batu. - IHSAN JBPM PERAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Operasi mencari dan menyelamat dua mangsa tertimbus runtuhan batu di tapak kuari dekat Keramat Pulai, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands di sini, dihentikan sementara berikutan berlaku runtuhan kecil.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, runtuhan batu berkenaan dikesan pada pukul 10.35 pagi ini.

“Kerja-kerja pengalihan batu dihentikan seketika berikutan terdapat runtuhan kecil batu pada pukul 10.35 pagi ini.. Pasukan Penyelamat masih dalam skop kerja pemerhatian dan keselamatan bagi kerja-kerja pengalihan batu oleh syarikat kuari,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, kerja-kerja mengalihkan batu bagi membuka laluan ke lokasi dua mangsa dipercayai tertimbus bermula sejak Selasa lalu dan kini hanya tinggal kira-kira 20 meter untuk sampai ke lokasi mangsa berada.

Dalam kejadian sekitar pukul 9.15 pagi di tapak kuari dekat Keramat Pulai, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands Selasa lalu, dua mangsa yang tertimbus runtuhan batu dikenali sebagai Itam Lasoh, 43, dan Kheow Loo Siew Soon, 49.

Seorang lagi mangsa berusia 35 tahun yang mengalami patah tulang kaki dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan manakala rakannya berusia 38 tahun cedera ringan. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN