JOHOR: Pemimpin UMNO, Datuk Seri Shahidan Kassim menemplak kenyataan Presiden Pas yang mengajak pengundi Johor menghukum Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Jelas Shahidan, BN telah membuat pembangunan secara holistik, malah rakyat telah menikmati manfaatnya sejak dahulu lagi, sekali gus BN tidak wajar dihukum.
Sebaliknya, tegas beliau, Pas yang dipimpin Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan dipinggirkan oleh masyarakat Johor sendiri.
“Hukum atas kesalahan apa? Mungkin, mungkin ada kesalahan pada pandangan mereka segelintir pemimpin. Tetapi pada keseluruhannya parti ini telah berjaya membangunkan negara.
“Malah, amalan demokrasi yang hebat diperkenalkan kami, jadi sebab itu patut kami yang menjadi wakil rakyat di sini.
“Nak menyuruh orang hukum kita dalam keadaan kita tidak buat kesalahan apa. Akhirnya parti itu akan dipinggirkan akan dalam pilihan raya di Johor,” katanya dalam program Sembang Politik anjuran MMTV, semalam.
Terdahulu, Abdul Hadi mengajak pengundi untuk menghukum BN agar ia dapat dijadikan pengajaran kepada parti berkenaan.
Meningkatkan serangannya ke atas parti yang pernah bersama dengan Pas melalui Muafakat Nasional (MN) itu, Abdul Hadi menambah, mereka sudah memerintah terlalu lama dan tamak kuasa.
“Kerana terlalu lama memerintah, berlakulah isu-isu seperti rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa yang melibatkan pemimpin-pemimpin UMNO dan BN seperti mana diketahui umum hari ini.
“Ibarat mereka yang berusia 60 tahun, UMNO telah lemah dan perlu ditukar,” jelasnya.
Menceritakan pengalaman Shahidan ketika berjumpa dengan masyarakat di Johor, katanya rakyat sendiri menilai Pas yang dilihat cuba menyembunyikan kesalahan dengan menuding jari ke pihak lain.
“Hukum untuk apa? Saya jumpa peneroka di sini, dia kata orang bersalah ini menceritakan kesalahan orang untuk menyembunyikan kesalahan diri sendiri. Kadang-kadang menghukum orang hebat untuk dirinya yang tidak hebat.
“Dia sendiri pun tidak turun ke bawah sepenuhnya melihat keadaan,” ujarnya. – UTUSAN