Musim ‘menuai’ ganja di Laos, limpahan masuk Malaysia - Utusan Malaysia

Musim ‘menuai’ ganja di Laos, limpahan masuk Malaysia

AYOB Khan Mydin Pitchay berucap dalam sidang akhbar di IPK Selangor di Shah Alam, Selangor, semalam. - UTUSAN / ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Musim ‘menuai’ ganja di negara pengeluar iaitu Laos ketika ini menjadi antara faktor peningkatan rampasan ganja di seluruh negara bagi tahun ini.

Mengikut rekod, sebanyak 8,530.43 kilogram (kg) ganja dirampas Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika pandemik Co­vid-19 iaitu sebanyak 7,899 kg pada tahun 2020 dan tahun 2021 berban­ding 631.36kg pada tahun 2019.

Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, lambakan ganja itu menyebabkan sindiket ter­desak menjual kepada pengedar tempatan bagi menjaga kualiti dadah tersebut.

“Ganja ini kalau simpan lama, kualitinya terjejas dan menurun, itu sebab sindiket tidak mahu simpan dan menjadi antara punca rampasan ganja meningkat.

“Bagaimanapun, melalui risikan dan operasi JSJN di seluruh negara, kita berjaya membanteras kegiatan penyeludupan dan pengedaran termasuk rampasan 1.33 tan ganja dianggarkan bernilai RM3.33 juta, Khamis lalu di Se­langor,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Dalam pada itu, beliau berkata,melalui operasi pihaknya mendapati kebanyakan ladang mini ganja yang dihasilkan adalah untuk kegunaan sendiri.

Kata beliau, tujuan mereka yang menanam sendiri bagi menjimatkan wang serta mengelak dikesan pihak berkuasa daripada mendapatkan bekalan daripada sindiket luar.

“Benih-benih itu mereka dapatkan daripada pembekal, ada cara mereka sendiri dapatkan benih tersebut,” ujar beliau.

Sementara itu, Ayob Khan memberitahu, dalam empat serbuan di Selangor itu, JSJN merampas ganja seberat 1.33 tan metrik dipercayai untuk pasaran Selangor dan Johor.
Jelas beliau, serbuan berkenaan membawa kepada penangkapan empat lelaki berusia 23 hingga 46 tahun.

“Daripada empat yang ditangkap, dua adalah penganggur, seorang ahli perniagaan dan seorang lagi bekerja sebagai penghantar,” kata beliau.

“Semakan rekod jenayah juga mendapati salah seorang suspek mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah,” katanya beliau.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×