KUANTAN: Pengundi di Johor pada 12 Mac ini berpeluang menentukan tahap urus tadbir dan nasib rakyat negeri ini dan negara agar berada dalam keadaan baik, dengan mengundi Perikatan Nasional (PN) yang dipengerusikan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Maran, Datuk Jasri Jamaludin berkata, keadaan di mana Muhyiddin mula-mula memegang tampuk pemerintahan negara sewaktu Covid-19 melanda negara ini telah dijadikan kontroversi oleh sesetengah pihak daripada parti politik lain.
Katanya, prestasi PN semasa menjadi kerajaan menunjukkan komitmen dan prestasi yang baik bukan hanya untuk rakyat Malaysia malah semua orang yang menetap di negara ini.
“Muhyiddin berjaya mengemudi Malaysia sepanjang pandemik Covid-19 melalui usaha-usaha dan perancangan yang luar biasa, teliti dan amat memberi impak yang positif kepada rakyat.
“PN gabungan politik dari Bersatu, Pas dan Gerakan jelas disenangi rakyat sewaktu pemerintahannya. Jelas, tiada berlaku gerakan politik yang mementingkan diri sendiri, tiada retorik, tiada kronisme, tiada janji kosong, tiada kehilangan wang negara dan tiada sikap taksub terhadap Barat.
“Pendekatan PN terhadap semua dasarnya ialah mendahulukan rakyat dan ini ternyata telah memberi manfaat yang besar pada semua rakyat dan negara ini. PN telah merangka pelan pemulihan negara yang komprehensif dan jelas di mana sehingga hari ini, pelan tersebut menjadi seperti pembimbing untuk pentadbiran negara yang sekarang ini diketuai oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Jasri berkata, Muhyiddin umpama pengurus dasar yang tidak boleh dicari ganti dan sehingga hari ini, beliau terus menerajui Malaysia dalam mengharungi cabaran landskap pasca Covid-19 dalam kapasitinya sebagai pengerusi Majlis Pemulihan Negara.
“Jasa-jasa PN terbukti, antaranya penghapusan hutang RM8.3 bilion untuk peneroka Felda yang mana secara drastik telah mengurangkan beban pembayaran balik hutang mereka sebanyak 80 peratus. Keazaman politik Muhyiddin yang kuat dan luar biasa telah membolehkan hutang peneroka Felda dihapuskan walaupun pada ketika pandemik itu, negara memerlukan dana yang banyak untuk menampung dan membantu rakyat yang amat begitu terkesan dek Covid-19.
“PN begitu memahami kesukaran peneroka Felda dan penderitaan yang mereka alami. Mereka memerlukan bantuan segera. Nyata, pelupusan hutang Felda ini yang tidak pernah dibuat oleh mana-mana kerajaan sebelum PN, telah mengurangkan bebanan mereka.
“Sebagai tambahan kepada pemansuhan hutang, kerajaan Muhyiddin juga telah meluluskan terbitan sukuk sebanyak RM9.9 bilion yang dijamin kerajaan untuk membiayai penambahbaikan kepada model perniagaan Felda,” katanya.
Beliau berkata, hampir separuh daripada Johor terdiri daripada penempatan rancangan Felda dan kerajaan PN telah berjaya meringankan kira-kira RM20,000 hutang setiap peneroka melalui pelupusan hutang Felda yang dilaksanakan.
“Oleh itu, pengundi di Johor pasti dapat memberi pengiktirafan kepada PN yang amat mengutamakan kebajikan rakyat secara realiti, tidak hanya omong-omong kosong seperti parti-parti lawan.
“Mungkin kelemahan Muhyiddin dan PN terletak dalam cara mereka memasarkan atau mempromosikan diri sendiri. Namun, dari segi tadbir urus negara yang baik dan dasar, mahupun dalam etika atau integriti, ternyata PN amat cemerlang,” katanya.
Menurutnya lagi, Muhyiddin dan PN juga sentiasa berpegang teguh kepada prinsip utama memerangi rasuah dan apa jua bentuk penyalahgunaan kuasa.
“Pengundi di Johor mesti mendokong prinsip ini. Mereka mesti berpegang teguh kepada prinsip ketelusan dan tadbir urus yang baik dalam memerangi rasuah dan apa jua bentuk penyalahgunaan kuasa dengan mengundi calon yang betul-betul berintegriti dan tidak rasuah,” katanya. – UTUSAN