PONTIAN: Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak percaya gabungan itu sedang mendahului dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor setakat minggu pertama kempen bermula selepas penamaan calon pada 26 Februari lalu.
Walau bagaimanapun, bekas Perdana Menteri itu tidak mahu terlalu yakin sebaliknya mahu jentera BN terus fokus kepada usaha menyantuni seramai mungkin masyarakat Johor.
“Alhamdulillah, saya lihat berdasarkan pertemuan yang diadakan, mood dan sentimen nampaknya memihak kepada BN tetapi saya tidak mahu menjangka apa-apa keputusan terlalu awal.
“Apa yang penting adalah kita perlu fokus kepada kerja, beri penjelasan dan pencerahan berhubung agenda kita untuk rakyat serta menangkis fitnah dan tuduhan dibuat pembangkang, itu yang penting,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan walkabout di Pekan Sanglang, Benut, di sini hari ini. Turut hadir, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan merangkap Ahli Parlimen Pontian.
Tambah Ahli Parlimen Pekan itu, sokongan daripada masyarakat Tionghua terhadap BN juga didapati amat menggalakkan sama ada daripada kawasan bandar mahupun luar bandar. Namun, beliau berharap sokongan berbentuk fizikal itu turut diterjemah dalam bentuk undi kepada calon-calon BN pada hari membuang undi iaitu 12 Mac ini.
Sementara itu, Najib turut membidas kenyataan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong yang mendakwa beliau turun berkempen dalam PRN Johor seolah-olah seperti mahu menjadi calon Menteri Besar.
Katanya, apa yang didakwa Chin Tong itu tidak masuk akal kerana semua pihak khususnya pengundi di Johor tahu beliau tidak bertanding di negeri ini.
“Dakwaan itu tak masuk akal, saya mana ada jadi calon, calon Menteri Besar adalah Hasni (Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad), semua yang saya buat ini adalah untuk Hasni, bukan untuk kebaikan diri saya,” jelasnya.
Terdahulu, Najib yang tiba di kawasan berkenaan dengan mengenakan jersi pasukan bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) yang dikurniakan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendapat sambutan memberangsangkan penduduk termasuk daripada komuniti Cina.
Dalam pada itu, Ahmad memberitahu, kehadiran komuniti Cina dalam program anjuran BN khususnya yang melibatkan Najib adalah petanda baik gabungan itu bakal memenangi PRN Johor.
“Banyak jasa beliau kepada negara, kepada Johor dan Pontian. Selama 40 tahun lebih beliau berkhidmat kepada rakyat sejak mula menjadi Menteri Besar Pahang sehingga menjadi Perdana Menteri selama sembilan tahun,” katanya. – UTUSAN