MCA ingatkan pengundi Johor jangan percaya janji kosong DAP - Utusan Malaysia

MCA ingatkan pengundi Johor jangan percaya janji kosong DAP

YEOH CHIN KAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Pengundi di Johor diminta menilai prestasi dan pencapaian DAP di Pulau Pinang sebelum memberi sokongan kepada parti itu atau Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu ini.

Setiausaha MCA negeri, Yeoh Chin Kah mendakwa, banyak janji kosong ditawarkan DAP sepanjang 14 tahun mentadbir Pulau Pinang sekali gus perlu dijadikan pengajaran dan diambil iktibar oleh pengundi Johor.

Kegagalan paling ketara jelas beliau, adalah projek kontroversi terowong dasar laut yang kekal menjadi misteri sehingga kini meskipun sudah dicanang kepada penduduk Pulau Pinang sejak 2011.

Lebih malang katanya, pemaju yang dikaitkan dengan projek yang dianggarkan menelan kos lebih RM6 bilion itu sudah dianugerahkan tanah yang dibangunkan projek mewah yang langsung tidak dapat dimanfaatkan penduduk tempatan.

“Projek ini juga melayakkan DAP menerima ‘Anugerah Penipuan Paling Mahal’ dan bekas Ketua Menteri, Lim Guan Eng turut berdepan dakwaan rasuah di mahkamah bersabit projek ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Selain itu jelas beliau, banyak lagi janji-janji DAP sepanjang 14 tahun mentadbir Pulau Pinang yang gagal dilaksanakan sehingga kini termasuk memansuhkan tol Sungai Nyior di Butterworth.

Jelasnya, pemansuhan tol itu sering dijanjikan DAP ketika berkempen dalam pilihan raya umum (PRU) sebelum ini namun tidak dilaksanakan meskipun PH berjaya menjadi Kerajaan Pusat selepas PRU-14.

Kegagalan lain jelasnya, termasuk janji jaringan tanpa wayar (WiFi) percuma kepada penduduk Pulau Pinang yang ditamatkan perkhidmatannya pada 2019 selepas kira-kira RM8.5 juta dibelanjakan untuk projek itu sejak 2012.

“Pada 2009, DAP juga berjanji tidak akan menaikkan tarif air, namun apa yang berlaku dalam tempoh 14 tahun ini, penduduk Pulau Pinang berdepan dengan empat kali kenaikan tarif dan surcaj air,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya