Mayat wanita tidak dikenali ditemukan dalam gaung

Mayat wanita tidak dikenali ditemukan dalam gaung

MAYAT wanita ditemukan di dalam gaung di Kilometer 14 Jalan Lama Bukit Putus, Seremban, Negeri Sembilan, pagi ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Mayat wanita tanpa identiti ditemukan di dalam gaung dalam di Kilometer 14 Jalan Lama Bukit Putus dekat sini, pagi ini.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, kira-kira pukul 11.15 pagi ini, Pejabat Pertanyaan Balai Polis Paroi  menerima panggilan telefon dari Balai Polis Terachi yang menerima makluman terdapat penemuan mayat di lokasi tersebut.

Katanya, saksi kejadian adalah anggota renjer Jabatan Perhutanan yang bertugas di Ulu Bendul, Kuala Pilah memberitahu didatangi seorang lelaki berusia 50-an yang memaklumkan menemukan mayat berkenaan ketika sedang berjoging dan mengambil gambar di lokasi tersebut.

“Saksi bersama rakannya mengikut lelaki itu ke tempat penemuan mayat tersebut. Apabila sampai terdapat satu mayat perempuan yang dalam keadaan tertiarap.

“Pasukan polis serta pihak Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan dan Unit K9 dibantu anggota bomba telah ke tempat kejadian. Tempat kejadian jauh dari kawasan perumahan dan kawasan yang sunyi. 

“Unit K9 cuba mengesan bahan bukti tetapi tidak menjumpai sebarang kesan yang boleh membantu siasatan. Hasil siasatan awal pihak forensik juga tidak dapat memastikan punca kematian si mati,” katanya.

Nanda berkata, setakat ini, tidak dapat dipastikan unsur jenayah yang boleh dikaitkan dan punca kematian akan diperoleh sehingga bedah siasat daripada pihak patologi Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ).

“Mayat dibawa ke HTJ tujuan bedah siasat. Polis memohon bantuan kepada sesiapa yang kehilangan ahli keluarga untuk tampil membuat laporan bagi membantu siasatan polis,” katanya.

Kata beliau, si mati berketinggian 1.39 meter serta bertubuh badan agak kecil.

“Ketika ditemuikan, si mati berpakaian seluar trek dan kemeja-T berwarna hitam. Si mati juga tidak memakai barangan kemas serta kuku pendek dan tidak diwarnakan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN