GERIK: Mayat seorang lelaki warga Myanmar ditemukan dengan kesan tetakan di tepi jalan di kawasan kebun getah dekat Padang Semai, Kuala Rui, di sini semalam.
Mayat mangsa tanpa identiti berusia lingkungan 30-an itu dijumpai orang awam pada pukul 8.30 malam sebelum memaklumkan kepada polis.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, mangsa ditemukan seorang lelaki yang mahu masuk ke kebunnya, berdekatan tempat kejadian.
Katanya, mangsa dijumpai dalam keadaan terlentang di tepi kawasan semak dengan kesan darah di kepala dan badan.
“Pemeriksaan pada badan mangsa mendapati terdapat dua kesan tetakan di dahi sebelah kanan dan tengah kepala selain kesan tetakan di siku kiri dan di pergelangan tangan kanan.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan dan mangsa dipercayai warga asing. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” ujarnya ketika dihubungi di sini hari ini. – UTUSAN