Masih ada tidak tahu mengenai penipuan siber - Polis KL

Masih ada tidak tahu mengenai penipuan siber – Polis KL

TOWN Hall Discussion Polis Kuala Lumpur Scammer Ancaman Sosial Dalam Komuniti Masyarakat menerusi aplikasi Google Meet, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 11,886 kes jenayah siber dengan kerugian RM2.73 bilion direkodkan Polis Kuala Lumpur sejak 2019 hingga tahun lalu. 

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, berdasarkan statistik, sebanyak 3,464 kes dilaporkan membabitkan kerugian RM2.6 billion direkodkan bagi tahun 2019.

“Jumlah kes direkodkan meningkat sebanyak 598 kes atau 17.3 peratus apabila 4,062 kes dicatatkan pada 2020 namun kerugian menurun kepada RM637 juta.

“Pada tahun lalu pula, jumlah kes terus meningkat sebanyak 278 kes atau 6.8 peratus kepada 4,360 kes dengan peningkatan nilai kerugian kepada RM665 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Town Hall Discussion Polis Kuala Lumpur Scammer Ancaman Sosial Dalam Komuniti Masyarakat menerusi aplikasi Google Meet, hari ini.

Forum itu dikendalikan Timbalan Naib Canselor Pembangunan Universiti Malaya (UM) Prof. Ir Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman selaku moderator.

Tiga ahli panel dalam forum berkenaan adalah Pengarah Urusan dan Ketua Editor Esecurity and Privacy Channel (ESPC), Prof. Madya Kolonel (B) Datuk Dr. Husin Jazri; Pegawai Kawal Selia Suruhanjaya Kominikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Zulkarnain Mohd. Yassin serta Penolong Pengarah Siasatan Jenayah Telekomunikasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Superintenden Rozeni Ismail.

Azmi berkata, meskipun banyak amaran dan peringatan mengenai kegiatan penipuan dalam talian oleh pelbagai pihak namun masih ramai masyarakat menjadi mangsa dengan kerugian mencecah jutaan ringgit.

Katanya, masih ada segelintir masyarakat yang begitu mudah terpedaya dengan pujukan selain kurang peka terhadap jenayah siber.

“Dalam kebanyakan kes, mangsa sering kali dijanjikan tawaran lumayan dan janji manis oleh sindiket penipuan, namun mereka tidak menyedarinya.

“Terdapat satu kes apabila mangsa ditanya adakah mereka pernah mendengar kes penipuan seperti itu dan mereka menjawab dengan mudah bahawa tidak pernah diberi maklumat kes sebegini,” katanya. 

Tambah beliau, pihaknya akan terus mempergiatkan usaha untuk membanteras jenayah siber di ibu kota ini dengan meningkatkan kempen kesedaran dalam kalangan masyarakat.

“Polis Kuala Lumpur mempunyai kira-kira 9,000 kekuatan dan jumlah itu tidak mungkin boleh berjaya meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai kegiatan penipuan tanpa kerjasama agensi lain, pertubuhan bukan kerajaan serta kelompok masyarakat.

“Kami juga mahu menyeru orang ramai supaya membantu pihak polis memastikan jenayah siber dapat dibanteras dalam menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar raya selamat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya