TANAH MERAH: Masalah capaian internet lemah di negeri ini yang tidak pernah selesai umpama ‘duri dalam daging’ bagi pelajar kerana menjadi punca sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) mereka kerap terganggu.
Difahamkan, masalah tersebut berlarutan di beberapa kampung di jajahan ini biarpun aduan sudah berkali-kali dibuat oleh pelbagai pihak sejak PdPR diperkenalkan ekoran pandemik Covid-19, dua tahun lalu.
Antara kampung terlibat adalah Kampung Batu Gajah, Kampung Bedah, Kampung Pelain, Kampung Klewek serta Kampung Kelisar.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang, Fathin Noor Daiani Ramli, 20, berkata, capaian internet di rumahnya di Kampung Batu Gajah tidak pernah berubah sejak 10 tahun lalu.
Demi mengikuti kelas secara dalam talian, kata gadis itu, dia terpaksa memandu sejauh dua kilometer dari rumah ke Sekolah Kebangsaan (SK) Jedok semata-mata untuk mendapatkan capaian internet lebih baik.
“Kalau musim hujan, tiada langsung capaian Internet hingga saya gagal mengikuti kelas dalam talian. Dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini, saya banyak tertinggal kelas dan tercicir maklumat gara-gara masalah capaian internet yang tak pernah selesai,” katanya.

Sementara itu, pelajar Tingkatan Satu, Nur Azra Nasrin Mohd Yusman, 13, berkata, demi mendapat capaian internet lebih baik, dia dan rakan-rakan berkumpul beramai-ramai di tepi jalan, berhampiran tanah perkuburan atau dalam semak.
“Pada mulanya memang tidak selesa namun lama-kelamaan kami sudah biasa. Apabila hujan, kami akan mencari tempat berteduh seperti wakaf. Cuma yang peliknya, masalah capaian teruk ini tidak selesai-selesai sampai sekarang,” katanya.
Sementara itu di Kampung Felcra Bukit Tandak, Rantau Panjang, masalah sama dihadapi pelajar, Norfarisha Izati Zainudin, 17, yang terpaksa keluar dari rumah untuk mencari liputan internet lebih baik setiap kali mahu mengikuti PdPR atau memuat turun tugasan diberikan guru.
“Biasanya saya akan ke kawasan masjid kira-kira 100 meter dari rumah untuk mendapatkan capaian internet. Sebenarnya capaian di situ pun lemah, tapi sekurang-kurangnya jauh lebih baik berbanding di rumah.
“Menerusi capaian internet yang lemah inilah saya akan menunggu dengan sabar untuk memuat turun tugasan yang dikongsikan guru menerusi kumpulan WhatsApp,” katanya.
Kata Norfarisha Izati, situasi dihadapinya sejak hampir dua tahun lalu itu disifatkan memalukan kerana masih berlaku di Malaysia yang sedang menuju menjadi sebuah negara maju.-UTUSAN