Mangsa dirempuh lori tak sempat tatap wajah anak pertama - Utusan Malaysia

Mangsa dirempuh lori tak sempat tatap wajah anak pertama

GAMBAR kenangan Suriyana Abdul Razak bersama Muhammad Khairul Azwan Maula Hashim.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Salah seorang daripada dua mangsa yang maut dalam kemalangan ngeri di Kilometer 92.8, Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Bedong semalam tidak sempat menatap wajah anak pertamanya yang dijangka dilahirkan beberapa bulan lagi.

Menurut Suriyana Abdul Razak, 26, suaminya, Muhammad Khairul Azwan Maula Hashim, 31, yang maut dalam kejadian itu merancang membeli barang keperluan bayi pada hujung minggu ini.

“Suami sebenarnya cukup teruja menanti kelahiran anak sulung ini setelah kami bernikah pada Oktober tahun lalu. Dia juga sering bercerita mengenai kandungan ini yang sudah masuk lima bulan kepada ibunya, Shukina Sharif, 56.

“Namun semalam takdir menentukan yang arwah pergi meninggalkan kami,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Kubang Siam di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.40 petang semalam, sebuah lori merempuh sembilan motosikal yang sedang berteduh daripada hujan lebat di bawah jejambat hingga mengakibatkan dua individu maut di lokasi kejadian.

Selain Muhammad Khairul Azwan, seorang lagi individu yang maut ialah Mohd. Amirul Ismail, 28.

Suriyana memberitahu, ketika kejadian suaminya yang juga bekerja sebagai pemandu lori sedang dalam perjalanan ke tempat kerja di Bukit Minyak, Pulau Pinang.

“Sebenarnya suami saya baru saja bekerja sebagai pemandu lori di sana selepas lebih dua tahun bekerja di Langkawi. Selepas kejadian itu berlaku, saya langsung tidak tahu mengenainya kerana sedang bekerja dan tidak melihat klip video dan gambar yang tular di media sosial.

“Hanya selepas pulang kerja kira-kira pukul 7 petang, saya menerima panggilan daripada pihak polis memaklumkan suami meninggal dunia akibat kemalangan,” katanya.

Dalam pada itu, Shukina berkata, Muhammad Khairul Azwan kebiasaannya akan menaiki kereta api untuk berulang-alik ke tempat kerja memandangkan keadaan cuaca tidak menentu kebelakangan ini.

“Saya sebenarnya sudah beberapa kali menasihatinya agar tidak menaiki motosikal ke tempat kerja namun dia bertegas untuk menggunakan motosikal dengan alasan lebih mudah untuk pulang ke rumah jika berlaku kecemasan,” katanya.

Menurutnya, jenazah Muhammad Khairul Azwan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Masjid Kubang Siam di sini setelah segala prosedur di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani selesai. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN