MAFI, kerajaan negeri bincang selesaikan tempoh TOL - Utusan Malaysia

MAFI, kerajaan negeri bincang selesaikan tempoh TOL

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan mengadakan perbincangan bersama kerajaan negeri bagi menangani masalah tempoh Lesen Pendudukan Sementara (TOL) yang dihadapi usahawan tani.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, menerusi langkah tersebut, tempoh sewaan atau pajakan akan dipanjangkan bagi mewajarkan pelaksanaan projek pertanian berdaya maju.

Menurut beliau, perkara tersebut diputuskan selepas Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) yang memberi fokus terhadap usaha modernisasi dan menggalak pertanian pintar.

“Perbincangan melibatkan pembentangan pihak Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Syarikat Aerodyne Group bersama ahli-ahli EAC dan tokoh usahawan tani Malaysia.

“Mesyuarat bersetuju agar ketiga-tiga kertas yang dibentangkan iaitu Cadangan Modenisasi dan Pertanian Pintar Melalui Pemerkasaan Taman Kekal Pengeluaran Makanan, Pembangunan Bakat Usahawan Tani Negara 2022- 2027 dan Transformasi Pertanian Malaysia dinilai secara bersekali sebagai satu inisiatif komprehensif mengukuhkan sektor pertanian negara,” kata Perdana Menteri dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, mesyuarat turut menetapkan Sekretariat EAC; Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri; Kementerian Kewangan dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan  mengambil tindakan selanjutnya bagi melaksanakan cadangan kerjasama awam swasta yang dibentangkan Aerodyne Group melalui kertas pembentangan Transformasi Pertanian Malaysia dan keperluan tanah berkeluasan 40 hektar bagi Projek Perintis.

“Melangkah ke hadapan, kita berharap agar sektor tani dan industri pengeluaran makanan negara dapat bergerak maju dan memacu usaha pemulihan ekonomi demi kesejahteraan negara dan Keluarga Malaysia,” jelasnya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya