KULIM: Pertubuhan Peladang Negeri Kedah (PPNK) Kedah mengubah suai sebuah kilang beras untuk dijadikan sebagai kilang memproses benih padi sah di Kampung Kubur Panjang, Pendang dekat sini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perusahaan Perladangan, Komoditi, Pengangkutan dan Hal Ehwal Masyarakat India negeri, Azman Nasrudin berkata, langkah tersebut diambil untuk mengatasi isu kekurangan bekalan benih padi sah di negeri ini.
Katanya, kilang tersebut diiangka mula beroperasi sepenuhnya pada Ogos nanti.
“Kilang benih padi sah itu mampu membekalkan kira-kira 5,000 tan metrik benih padi sah semusim kepada pesawah di luar kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kedah (HPPNK) 2022 di Stadium Kulim, di sini hari ini.
Tema HPPNK tahun ini ialah ‘Makanan Terjamin Negara Lestari, Terima Kasih Wira Agro Kedah’.
Pada majlis itu, beliau juga menyampaikan anugerah HPPNK 2022 kepada seramai 24 orang peladang, penternak dan nelayan yang berjaya di negeri ini.
Azman berkata, pesawah di kawasan luar MADA sebelum ini sering dibelenggu masalah kekurangan benih padi sah pada musim menabur padi.
“Isu kekurangan bekalan ini diharapkan selesai apabila kilang tersebut beroperasi,” ujarnya.
Sementara itu, Azman ketika berucap mewakili Menteri Besar berkata, PPNK juga melaksanakan projek rintis tanaman padi pulut di bawah pengendalian Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Langkawi bermula pada tahun 2019.
Menurutnya, pada permulanya, projek tersebut melibatkan seramai 27 peserta dengan keluasan kira-kira 39 hektar.
“Namun pada tahun 2021, jumlah peserta meningkat kepada 320 orang melibatkan keluasan 540 hektar,” katanya. – UTUSAN