Lori tipper catat bidaan tinggi JPJ

Lori tipper catat bidaan tinggi JPJ

PEGAWAI JPJ menunjukan antara kereta yang di lelong JPJ Perak, Ipoh, Perak, hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Sebuah lori tipper dummer jenis Nissan CK31L yang tidak boleh didaftarkan atau scrap antara kenderaan yang merekodkan bidaan tinggi pada sesi lelongan awam di sini, hari ini.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak, Mohammad Yussof Abustan berkata, bidaan permulaan lori itu pada harga RM2,300 namun dijual dengan nilai berganda berjumlah RM28,100.

Katanya, kenaikan harga besi dalam pasaran dipercayai antara faktor pembida sanggup membuat bidaan tinggi untuk kenderaan berkenaan.

“Saya jangka lori itu terjual dengan harga RM5,000 hingga RM10,000 sahaja dan agak pelik sedikit apabila kita dapat menjualnya pada harga RM28,100.

“Lori itu adalah kenderaan yang tidak boleh dilesenkan, jadi pembeli akan jualnya sebagai besi buruk. Ini bermakna mereka melihat jualan secara besi buruk itu lebih menguntungkan berikutan kenaikan harga besi,” katanya ketika ditemui pada majlis Lelongan Awam Kenderaan Sita JPJ Perak 1/2022, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pada sesi lelongan kali ini, JPJ Perak merekodkan kutipan sebanyak RM553,250 hasil jualan 70 kenderaan pelbagai jenis.

Katanya, bidaan tertinggi melibatkan kereta jenis Honda Integra dengan nilai lelongan RM47,500 diikuti Honda Odyssey dan Toyota Wish masing-masing berjumlah RM27,000.

Katanya, motosikal Modenas Kriss yang merupakan kenderaan scrap pula merekodkan nilai bidaan terendah iaitu RM50.

“Bagi siri lelongan kali ini, sebanyak 70 kenderaan dilelong melibatkan 23 buah motosikal, 43 buah kereta dan empat buah lori. 

“Daripada jumlah itu, hanya 42 buah kenderaan boleh dilesenkan dan seramai 71 pembida mengambil bahagian dalam lelongan tersebut,” katanya. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN