KUALA PENYU: Perbuatan seorang lelaki mengugut mahu menetak anggota polis ketika mabuk membawa padah apabila lelaki tersebut ditahan di Balai Polis daerah hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 12.05 tengah malam tadi, lelaki berusia 48 tahun itu ditahan bersama sebilah parang yang digunakan untuk mengugut polis.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superitendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, semasa anggota polis menjalankan tugas prowler di hadapan balai polis, dia didatangi seorang lelaki dipercayai mabuk yang mengugut untuk menetak anggota tersebut.

Berdasarkan siasatan awal, semasa anggota bertanya tujuan suspek datang ke balai, suspek terus berkata ‘mahu tetak kau’ sambil memegang sebilah parang panjang.
Terkejut dengan tindakan suspek, anggota berkenaan berlari masuk ke kaunter aduan dan terus mengunci pintu balai.
“Semasa berada di kaunter aduan, anggota tersebut bersama dua rakan setugasnya mendengar jeritan suspek ‘matlamat saya datang balai, mahu bunuh polis’.
“Kemudian, anggota berkenaan menghubungi Balai Polis Beaufort dan anggota lain untuk mendapatkan bantuan. Suspek berjaya ditahan dengan bantuan anggota lain dan senjata digunakan suspek turut dirampas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Yusoff Zaki berkata, siasatan lanjut mendapati suspek berada di bawah pengaruh alkohol kerana bau arak yang sangat kuat semasa suspek bercakap dan suspek juga terhuyung-hayang semasa berjalan.
Menurut beliau, suspek datang ke balai berkenaan menggunakan kenderaannya sebelum keluar untuk mengugut anggota yang dilihat berada di luar balai tersebut.
Siasatan kes itu masih berjalan dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.-UTUSAN