Lelaki ditahan jual air ketum di Putrajaya

Lelaki ditahan jual air ketum di Putrajaya

A. ASMADI ABDUL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seorang penjual udang ditahan ketika sedang menghantar bekalan air ketum siap proses kepada pelanggannya di Presint 9, di sini semalam. 

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, suspek ditahan ketika menunggang motosikal bersama 10 bungkusan plastik lutsinar berisi cecair air ketum. 

Beliau berkata, siasatan mendapati, suspek bertindak sebagai penghantar (runner) dan bekalan air ketum pula diperoleh daripada pembekal di Kuala Lumpur. 

“Siasatan juga mendapati, suspek membeli  air ketum pada harga RM10 sebungkus dengan pembekal dan menjual semula kepada pelanggannya pada harga RM15 sebungkus.

“Suspek ditahan reman selama empat hari untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 30(5) akta yang sama.

“Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih daripada empat tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini. 

Katanya, pihaknya mendapati, suspek turut mengiklankan air tersebut berkenaan menerusi kumpulan Facebook komuniti penduduk di Presint 9, di sini.

A. Asmadi berkata, suspek juga dipercayai mengedar air ketum di sekitar Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan ini.

Menurutnya, suspek mengiklankan air itu di laman sosial Facebook dan menghantar terus kepada pembeli sebaik tempahan diterima.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak melakukan kesalahan dengan menjual, membeli serta meminum air ketum,” katanya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti penjualan air tersebut boleh menyalurkan aduan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya di talian 03-88862145. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN